Perdana Menteri ajak Keluarga Malaysia bekerjasama jayakan usaha lawan COVID-19 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdana Menteri ajak Keluarga Malaysia bekerjasama jayakan usaha lawan COVID-19

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan terus memberi keutamaan untuk memerangi kemelut kesihatan dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah. 

 

Berucap dalam majlis prapelancaran Keluarga Malaysia hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri 'Keterangkuman’, 'Kebersamaan', dan 'Kesyukuran' yang menjadi tonggak kepada konsep Keluarga Malaysia.

 

Menurut beliau, kejayaan tersebut akan membolehkan negara membuka jalan pemulihan ekonomi dalam norma baharu, pasca pandemik. 

 

"Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

 

"Yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada Keluarga Malaysia, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan.

 

"Semoga, di sebalik pelitup muka yang menjadi sebahagian norma baru kehidupan kita ini, akan terukir kembali senyuman bahagia Keluarga Malaysia yang saya kasihi," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis tersebut yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

 

Pm

 

 

Majlis Prapelancaran ini merupakan manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan, untuk meningkatkan usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia, agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat. 

 

 

Keluarga Malaysia

 

 

Malah, ia seiring dengan perjalanan negara ke arah pemulihan dan mengembalikan negara, daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang dilalui.

 

Menurut Perdana Menteri, konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam, kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada dalam setiap keluarga. 

 

Katanya, apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai ini sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia, dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.

 

Tambah beliau, kesemua nilai Keluarga Malaysia adalah berpaksikan kepada Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara. 

 

"Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia.

 

"Ini kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia," jelas beliau. - DagangNews.com