Perdagangan Malaysia berkembang kukuh, meningkat kepada RM238.17 bilion pada November | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdagangan Malaysia berkembang kukuh, meningkat kepada RM238.17 bilion pada November

KUALA LUMPUR 19 Dis - Perdagangan Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan pada November 2022 dengan berkembang 15.6% kepada RM238.17 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, merekodkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun bagi 22 bulan berturut-turut.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, eksport naik 15.6% kepada RM130.24 bilion manakala import dan lebihan dagangan meningkat 15.6% masing-masing kepada RM107.93 bilion dan RM22.3 bilion.

 

Menurutnya, pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport kukuh barangan elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG), keluaran petroleum serta petroleum mentah.

 

Selain itu, eksport ke rakan dagang utama terutamanya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun juga merekodkan pertumbuhan dua digit.

 

"Berbanding Oktober 2022, lebihan dagangan meningkat 23.5% manakala perdagangan, eksport dan import masing-masing berkurangan 2.8%, 1% dan 4.9%.

 

"Tempoh Januari hingga November 2022 menyaksikan perdagangan berkembang 29.9% kepada RM2.61 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Eksport turut meningkat 27.2% kepada RM1.42 trilion dan import naik 33.3% kepada RM1.19 trilion manakala lebihan dagangan menokok 2.6% kepada RM227.89 bilion. 

 

Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan juga telah mencatat nilai tertinggi bagi tempoh tersebut.

 

MITI berkata, bagi November 2022, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.6% daripada jumlah eksport pula berkembang 15% tahun ke tahun kepada RM110.23 bilion iaitu pertumbuhan dua angka bagi bulan ke-16 berturut-turut.

 

Peningkatan tersebut disumbangkan oleh eksport barangan E&E dan keluaran petroleum yang mana masing-masing telah mencatat kenaikan eksport melebihi RM1 bilion.

 

Dalam pada itu, eksport hasil galian (meliputi bahagian sebanyak 8%) melonjak 62.6% tahun ke tahun kepada RM10.43 bilion - pertumbuhan dua angka ke-20 bulan berturut-turut, disumbangkan oleh kenaikan eksport LNG dan petroleum mentah.

 

Eksport keluaran pertanian (sebanyak 6.8% bahagian) susut 11.1% kepada RM8.87 bilion berbanding November 2021 berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

 

Tempoh Januari hingga November 2022 menyaksikan hampir kesemua barangan telah merekodkan peningkatan eksport.

 

Eksport barangan perkilangan berkembang 24.3% kepada RM1.197 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu yang disumbangkan oleh kenaikan eksport bagi barangan E&E, keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia selain barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. - DagangNews.com