KUALA LUMPUR 17 Feb - Duti eksais tinggi dengan peraturan ketat ke atas rokok dan vape akan meningkatkan pertumbuhan jenayah ekonomi seperti perdagangan rokok seludup, selain mengakibatkan kerajaan kehilangan RM5 bilion hasil cukai tidak dikutip setiap tahun.
Presiden E-Cure Sdn Bhd., Datuk Dr. Yusoff Nook berkata, kerajaan akan berterusan mengalami kerugian pendapatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang akan lumpuh apabila melaksanakan undang-undang yang ketat.
Beliau juga berkata, rancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengharamkan penjualan rokok kepada mereka yang lahir selepas tahun 2005 menyamai usaha New Zealand mengharamkan penjualan rokok kepada generasi akan datang.
"Walaupun ia ke arah tujuan baik, namun larangan itu perlu dilihat secara menyeluruh daripada pelbagai sudut.
“Sebelum melaksanakan pengharaman menyeluruh, KKM perlu bekerja bersama-sama kementerian lain untuk mencari kaedah menangani masalah rokok seludup di samping membantu membangunkan pembaharuan polisi yang akan memberi impak terhadap permintaan bagi produk haram dalam kalangan pengguna,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Yusoff yang juga bekas Ketua Polis Sarawak berkata, di New Zealand, kadar rokok haram hanya pada 11.5% pada 2019, sebaliknya kadar rokok haram di Malaysia melebihi 50% dan jika menggunakan inisiatif sama tidak akan mencapai objektifnya dan mendapat hasil serupa.
"Akhirnya sindiket jenayah akan mendapat keuntungan sepenuhnya daripada larangan tersebut. Sebelum kenaikan eksais 2015, kadar rokok seludup hanya 36.9% dan selepas eksais dinaikkan, ia melonjak kepada 52.3% pada 2016.
“Hari ini, Malaysia menjadi negara nombor 1 di dunia daripada segi rokok seludup di mana 6 daripada 10 rokok dijual di Malaysia adalah produk kontraban. Di Sabah dan Sarawak, keadaannya lebih teruk di mana 9 daripada 10 rokok dijual adalah tidak dijelaskan cukai.

“Apakah kita mahu kenaikan drastik rokok seludup lagi dengan pengharaman kepada orang dewasa yang lahir selepas 2005?,’’ katanya.
Beliau menambah, pengharaman vape bersama rokok boleh menyebabkan satu lagi perdagangan haram wujud, jika tidak lebih buruk daripada rokok seludup.
Katanya, semakin ramai beralih kepada vape sekarang sebagai cara untuk berhenti merokok dan kedai vape kini tumbuh seperti cendawan di seluruh negara.
"Jika cukai eksais yang sangat ekstrem dilaksanakan dan peraturan sangat ketat dikuatkuasakan, pengguna vape pastinya akan beralih kepada penyeludup bagi mendapatkan produk yang mereka mahukan itu.
“Ini bukan sahaja akan mendorong sindiket jenayah mengambil kesempatan sepenuhnya tetapi juga menjual produk seludup kepada pengguna. Kita tidak mahu melihat satu lagi segment ekonomi terjerumus ke dalam pasaran gelap," katanya. - DagangNews.com








