Peraturan eksport baharu Indonesia memburukkan lagi situasi bekalan minyak sawit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peraturan eksport baharu Indonesia memburukkan lagi situasi bekalan minyak sawit

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Feb - Stok minyak sawit Malaysia dijangka susut 1.2% bulan ke bulan kepada 1.56 juta tan metrik pada akhir Januari 2022 disebabkan pengeluaran yang lemah. 

 

Kaji selidik yang dijalankan CGS-CIMB Futures turut mendapati pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) kemungkinan susut 14.1% bulan ke bulan tetapi berkembang 10.6% tahun ke tahun kepada 1.25 juta pada Januari 2022.

 

Data rasmi akan dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Khamis ini.

 

Dalam nota kajian hari ini, CGS-CIMB berkata, peraturan eksport baharu Indonesia yang berkuat kuasa pada 27 Januari 2022 semakin memburukkan lagi bekalan minyak sawit.

 

Selain itu, katanya, ia turut dipengaruhi masalah kemarau di Amerika Selatan dan kelewatan pengambilan pekerja asing di Malaysia. 

 

"Harga spot MSM Malaysia meningkat 4.5% kepada paras tertinggi RM5,744 pada 4 Februari lalu, selepas Indonesia mengumumkan peraturan baharu eksport.

 

"Ini kerana peraturan tersebut boleh menangguhkan eksport minyak sawit dari Indonesia memandangkan pengeksport berebut-rebut untuk memenuhi peraturan jualan baharu sebanyak 20% daripada eksport minyak sawit yang dirancang mereka dalam pasaran minyak masak tempatan pada harga pasaran maksimum rupiah 9,300 per kilogram (kg) untuk MSM (pada 38% di bawah harga pasaran untuk MSM sebanyak rupiah 14,970/kg pada 4 Feb 2022)," jelasnya. 

 

Pada 27 Januari lalu, Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi berkata, pengeksport mesti memperuntukkan 20% daripada penghantaran mereka untuk obligasi pasaran domestik (DMO) bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi di pasaran tempatan pada harga berpatutan.

 

Menurut CGS-CIMB, berdasarkan harga jualan purata (ASP) terkini antara Indonesia dan Malaysia, didapati sebahagian besar kos untuk subsidi pasaran minyak masak domestik di Indonesia mungkin ditanggung pengimport minyak sawit buat masa ini melalui harga MSM antarabangsa yang lebih tinggi.

 

"Perkara ini disebabkan harga MSM Indonesia hanya susut 1% (berbanding kenaikan 5% bagi Malaysia) sejak Indonesia membuat pengumuman tersebut yang akan menjadi mandatori kepada pengeluar minyak sawit untuk menjual 20% daripada ekport domestik minyak sawit," katanya.

 

Firma itu berkata, faktor lain yang turut mendorong kenaikan MSM pada Februari termasuklah pertikaian yang belum selesai membabitkan kekurangan pekerja buruh di Malaysia dan kebimbangan masalah kemarau di Amerika Selatan yang mungkin mengurangkan pengeluaran kacang soya Brazil. 

 

"Bagaimanapun, harga MSM yang tinggi mungkin boleh menyebabkan gangguan permintaan dalam pasaran makanan dan bahan api. 

 

"Thailand ketika ini mengurangkan sementara mandat biodiesel daripada 7% kepada 5% mulai 5 Februari hingga 31 Mac 2022," katanya. 

 

Namun, tambah firma tersebut, kenaikan MSM akan memberi manfaat kepada pemain hiliran minyak sawit yang mempunyai ladang di Malaysia. 

 

"Sebaliknya, ia neutral kepada pemain hiliran minyak sawit yang mempunyai ladang di Indonesia," katanya.

 

Menurutnya, terdapat peningkatan kepada harga purata MSM yang diunjurkannya sebanyak RM3,600 satu tan pada 2022 kerana menjangkakan penyelesaian yang lebih cepat kepada isu buruh dan tidak menjangkakan langkah Indonesia untuk mengawal minyak masak domestik melalui peraturan eksport.

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB mengulangi pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan Malaysia memandangkan kebimbangan mengenai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebahagiannya diimbangi dengan pendapatan yang kukuh dan penilaian di bawah permintaan bagi sektor ini. 

 

Ia memberi saranan 'tambah' kepada Genting Plantations Bhd., Hap Seng Plantations Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong Bhd. dengan harga sasaran masing-masing pada RM8.28, RM2.35 dan RM22.22. - DagangNews.com