Penyenaraian ke Pasaran Utama dijangka lonjak kedudukan Reservoir Link dalam kalangan pelabur institusi | DagangNews Skip to main content

Penyenaraian ke Pasaran Utama dijangka lonjak kedudukan Reservoir Link dalam kalangan pelabur institusi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - BIMB Securities Research positif terhadap langkah penyenaraian Reservoir Link Energy Berhad ke Pasaran Utama daripada Pasaran ACE Bursa Malaysia kerana ia akan melonjakkan kedudukan mereka dalam kalangan pelabur institusi.

 

Selain itu, firma itu berkata, ia juga akan menjadi alternatif terbaik kepada pelabur yang ingin mencari pendedahan terhadap kontraktor solar yang dipercayai berdasarkan penilainnya berbanding pemain lain dalam Pasaran Utama. 

 

Firma itu berkata, unjuran pendapatan kumpulan itu kekal utuh kerana mendapat manfaat daripada pemulihan dalam aktiviti luar pesisir sejajar dengan perbelanjaan modal Petronas yang lebih tinggi.

 

"Kami positif dengan dengan pengumuman itu kerana ia akan membantu menaikkan pengiktirafan dalam kalangan pelabur institusi yang mungkin memiliki sekatan untuk melabur dalam syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Reservoir Link akan memindahkan status penyenaraiannya ke Pasaran Utama daripada Pasaran ACE berkuat kuasa 27 Jun 2022.

 

Syarikat itu akan dikategorikan di bawah sektor 'Tenaga', dan nama pendek saham dan nombor saham untuk sekuriti syarikat itu akan kekal tidak berubah.

 

Firma itu berkata, jangkaan pendapatan kumpulan itu adalah sebanyak RM5.9 juta/RM11.7 juta/RM16.1 juta pada FY22F/FY23F/FY24F.

 

"Prospek masa hadapannya disokong daripada pendapatan daripada projek tenaga solar," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM0.52. - DagangNews.com