Penyakit kardiovaskular jejas ekonomi Malaysia dengan kerugian produktiviti tahunan dianggarkan RM4 bilion – Monash University | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyakit kardiovaskular jejas ekonomi Malaysia dengan kerugian produktiviti tahunan dianggarkan RM4 bilion – Monash University

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Ekonomi Malaysia terbeban oleh peningkatan penyakit kardiovaskular (CVD) yang menyebabkan kerugian produktiviti tahunan dengan anggaran RM4 bilion, kata Monash University memetik data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

Susulan perbincangan dengan pakar klinikal dan saintifik dari seluruh Malaysia dalam Sidang Kemuncak Kardiovaskular diadakannya pada Mei lalu, universiti itu menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kelaziman penyakit dan kematian berkaitan CVD yang merupakan punca utama kematian dalam negara.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, universiti itu berkongsi bahawa penyakit tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit dan keluarga mereka, tetapi juga mengakibatkan beban ekonomi yang tidak mampan kepada negara.

 

“Kos rawatan telah mencecah jumlah yang mengejutkan iaitu hampir RM3.9 bilion setiap tahun, menyumbang lebih daripada 40% jumlah kos penjagaan kesihatan langsung untuk penyakit tidak berjangkit (NCD).

 

Kesannya bukan sahaja dari segi perbelanjaan perubatan, malah menyebabkan kerugian produktiviti tahunan dalam anggaran RM4 bilion,” katanya memetik data daripada laporan WHO itu bertajuk ‘The Direct Health-Care Cost of Noncommunicable Diseases in Malaysia’.

 

Pakar Perunding Kanan Kardiologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad berkata masyarakat perlu mengubah sikap terhadap kepentingan mengawal kolesterol untuk mencegah penyakit berkaitan jantung.

 

“Ramai yang berhenti mengambil ubat kolesterol selepas 15 bulan apabila gejala ketara sudah tiada dan beranggapan salah bahawa tahap kolesterol mereka telah terkawal. Mereka tidak menyedari bahawa tahap kolesterol yang baik itu sebenarnya adalah hasil pengambilan ubat,” ujar beliau.

 

Sementara itu, ahli majlis penasihat bagi Kertas Putih Kesihatan, Dr Koh Kar Chaipula membangkitkan isu cabaran yang dihadapi sektor swasta.

 

“Pesakit mempunyai persepsi sendiri mengenai kesihatan yang mengakibatkan mereka mengabaikan temujanji susulan selepas mendapatkan rawatan primer. Pengesanan awal amat penting untuk mengawal faktor-faktor risiko,” katanya.

 

Persidangan itu mendapati bahawa ramai pesakit memilih untuk tidak meneruskan pengambilan ubat kerana bimbang kesan sampingan, terutama ubat seperti statin.

 

Selain itu, ketiadaan gejala yang jelas bagi masalah kolesterol tinggi menyebabkan ramai percaya bahawa tahap kolesterol mereka telah terkawal.

 

Sidang Kemuncak Kardiovaskular Monash selama dua hari itu menyimpulkan bahawa walaupun peruntukan besar untuk penyakit kardiovaskular diterima dari belanjawan kesihatan persekutuan, hasil dan impak yang diinginkan masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya.

 

“Memang diakui terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan dalam sistem penjagaan kesihatan kita, namun sebagai individu, kita juga perlu memainkan peranan penting dalam penjagaan  kesihatan diri sendiri,” katanya. - DagangNews.com