KUALA LUMPUR 20 Julai - Jumlah pergerakan penumpang bagi operasi di Malaysia meningkat lebih 6 kali ganda pada separuh pertama 2022 jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada 2021 berikutan penyambungan semula operasi syarikat penerbangan asing dan laluan antarabangsa.
Bagi tempoh Januari hingga Jun itu, ia merekodkan 20.25 juta jumlah penumpang menerusi rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) di seluruh negara.
Pada Jun 2022, pergerakan penumpang di Malaysia berjumlah 4.54 juta, merangkumi 63% daripada jumlah penumpang sebanyak 7.21 juta (termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen).
Malaysia merekodkan 1.29 juta penumpang antarabangsa manakala domestik pula berjumlah 3.24 juta.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, trafik antarabangsa bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan lalu semakin meningkat dan melepasi paras 1 juta buat kali pertama sejak tercetusnya pandemik COVID-19.
Katanya, ia merekodkan 1.09 juta penumpang antarabangsa, iaitu 21% lebih tinggi berbanding Mei.
"Lapangan terbang antarabangsa lain dalam rangkaian tempatan kami juga mencatatkan peningkatan jumlah penumpang antara 35% hingga 66% pada Jun jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya.
"Kami yakin ini akan bertambah baik dengan penyambungan semula lebih banyak syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang MAHB," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Jun, MAHB menerima penyertaan operasi syarikat penerbangan asing termasuklah Citilink dan Lion Air bagi laluan Medan-Kuala Namu–Penang, manakala and Air Busan dan Jeju Air bagi laluan Seoul-Incheon–Kota Kinabalu (yang juga merupakan laluan baharu bagi Air Busan).
Selain kehadiran semula syarikat penerbangan asing, MAHB turut menyaksikan beberapa laluan yang dibuka semula selepas pandemik.
Antaranya, Batik Air memulakan semula laluan Subang–Batam dan KUL–Denpasar. Pada masa sama, Firefly mengembalikan semula operasi Subang–Seletar.
Sementara itu, Pakistan International Airlines memperkenalkan laluan baharu menghubungkan Lahore ke Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, operasi kumpulan di Turki kekal konsisten kerana ia merekodkan 2.68 juta pergerakan penumpang, peningkatan sebanyak 3% berbanding Mei 2022. - DagangNews.com








