Penubuhan KPSM jamin pekebun kecil dalam model ekonomi baharu negara | DagangNews Skip to main content

Penubuhan KPSM jamin pekebun kecil dalam model ekonomi baharu negara

Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng ketika merasmikan Pusat Timbang KPSM Sungai Sibuga Sandakan Berhad, Sabah hari ini.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) adalah langkah strategik kerajaan  bagi menjamin pekebun kecil terbabit dalam model ekonomi baharu negara, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.

 

Menurut beliau, kerajaan melalui KPSM telah menyalurkan pelbagai bantuan dan sokongan bagi meningkatkan aktiviti koperasi dan pembangunan pekebun kecil sawit.

 

“Kerajaan telah memperkenalkan geran bagi pembinaan pusat timbang sebanyak RM200,000 bagi setiap koperasi. Penyediaan geran itu adalah untuk menampung kos penyediaan tapak, pembinaan platform dan pembelian jambatan timbang oleh KPSM,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Timbang KPSM Sungai Sibuga Sandakan Berhad, Sabah hari ini.   

        

Wee berkata, kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Mudah Tanpa Faedah untuk disalurkan kepada KPSM terpilih dengan kadar RM200,000 bagi setiap KPSM dan sehingga Mei tahun ini, sebanyak 16 buah KPSM telah menikmati kemudahan itu.
 

 

“Penyediaan skim pinjaman mudah tersebut dapat meningkatkan keupayaan KPSM terutama dalam pembelian secara bayaran tunai buah tandan segar (BTS) yang dibekalkan oleh pekebun kecil,” katanya.

 

Di samping itu, tambah beliau, kerajaan juga telah meluluskan Skim Pembelian Jentera untuk KPSM dalam bentuk geran padanan dengan peruntukan berjumlah RM20 juta.

 

"Skim ini membolehkan KPSM membeli jentera sendiri bagi menjamin operasinya berjalan dengan lancar," katanya.

 


Sehubungan itu, beliau menggesa supaya lebih ramai pekebun kecil mendaftar keahlian KPSM untuk merebut faedah yang disediakan melalui kegiatan koperasi.  

 

KPSM ditubuhkan pada tahun 2010 mengikut Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan sehingga 30 Mei 2022, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung, 27 di Sabah dan 18 KPSM di Sarawak. 

 

Beliau berkata, sebanyak 61 buah KPSM telah melaksanakan jualan kelompok BTS terus ke kilang dengan jumlah sebanyak 314,834.15 tan. 

 

Bagi memantapkan pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam kalangan pekebun kecil sawit, MPOB telah menubuhkan Kelompok Minyak Sawit Mampan atau Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) yang melibatkan penyertaan kumpulan-kumpulan pekebun kecil persendirian dalam menghasilkan minyak sawit mampan. 

 

Sebanyak 162 SPOC telah ditubuhkan untuk membantu dalam persediaan Pensijilan MSPO dan sehingga April 2022, jumlah keluasan tanaman pekebun kecil yang telah memperolehi Pensijilan MSPO ialah 647,331 hektar melibatkan penyertaan 167,549 orang pekebun kecil persendirian di seluruh negara. - DagangNews.com