KUALA NERUS 4 Jun - Berinformasi, pameran interaktif dan mesra!
Itu gambaran pengunjung mengenai kehebatan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keempat di Terengganu yang melabuhkan tirainya hari ini.
Kebanyakan pengunjung yang ditemui DagangNews.com di sini berharap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan mengadakan lagi program seumpama ini dalam masa terdekat kerana impak positif yang dirasai.
Seorang pengunjung, Puteri Najihah Ibrahim, 24, berkata, terlalu banyak aktiviti menarik dapat disertai ketika beliau berada di Jelajah AKM itu antaranya pertandingan e-sport dan melihat demonstrasi pembuatan makanan tradisional Terengganu.
"Selain itu, saya tertarik dengan beberapa promosi seperti pendaftaran perniagaan percuma yang disediakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan khidmat baik pulih peranti secara percuma di reruai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
"Berada di sini, tak terasa masa berlalu kerana semua yang dipamerkan agensi-agensi kerajaan ada manfaatnya untuk rakyat. Rugi siapa yang tak datang ke sini sepanjang tiga hari Jelajah AKM berlangsung," katanya.


Pengunjung dari Melaka, Nur Atiqah Kamaruddin, 32, berkata, dia datang ke Terengganu untuk melancong sejak dua hari lepas dan tidak melepaskan peluang berkunjung ke Jelajah AKM itu setelah mendengar hebahan mengenainya di Facebook dan Instagram.
"Saya bersama dua kakak dan lima anak saudara datang ke sini sebab pemilik 'homestay' pun ada beritahu banyak barangan dijual dengan harga promosi di sini seperti batik dan kraftangan tradisional Terengganu.

"Kalau ikut perancangan awal, kami mahu ke Pasar Besar Kedai Payang nak membeli barangan cenderahati untuk dihadiahkan kepada jiran dan saudara mara pagi esok, tapi datang ke sini dulu untuk jalan-jalan.
"Memang harga pakaian seperti kaftan, kemeja lelaki dan pakaian kanak-kanak bermotifkan batik dijual dengan harga istimewa hari ini, jadi nampaknya kami 'shopping' di sini sahaja alang-alang dah sampai," katanya yang berharap Jelajah AKM juga akan dibuat di Melaka dalam masa terdekat.
Seorang lagi pengunjung, Ramlah Mamat, 66, berkata, dia datang ke Jelajah AKM itu kerana mahu singgah ke reruai Kementerian Kesihatan Malaysia dan menemani cucunya ke jualan di reruai usahawan.
"Saja datang sini nak periksa tahap kesihatan macam tekanan darah tinggi lepas tu cucu cakap banyak pes masakan dijual murah seperti pes rendang dan dendeng. Kalau murah nanti boleh beli banyak sikit buat stok untuk anak menantu yang kerja jauh.

"Bagus juga buat program besar macam ni, saya tengok orang berniaga pun ramah tamah, jualan meningkat. Kanak-kanak, remaja dan belia pun ada aktiviti masing-masing jadi tak mungkin bosan kalau ke sini dan saya dapat rasakan matlamat kerajaan melalui Jelajah AKM ini sudah tercapai," katanya.
Terengganu menjadi destinasi keempat penganjuran AKM selepas Johor, Perlis dan Sabah, manakala Kementerian Pendidikan pula dipilih selaku kementerian peneraju bagi edisi kali ini.
Ia berlangsung dari Khamis lepas dan berakhir hari ini dengan perasmian penutup disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, pagi tadi. - DagangNews.com








