Pengukuhan dolar AS lemahkan sentimen pengguna akibat tekanan inflasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengukuhan dolar AS lemahkan sentimen pengguna akibat tekanan inflasi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2022 dijangka hanya sementara dan masih berada dalam jangkaan sekitar RM4.40 hingga RM4.50 berbanding dolar AS, demikian menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Jelasnya, ia berlaku di sebalik pengetatan kecairan global yang berterusan, mendorong pelabur mengagihkan semula dana kepada aset dalam denominasi dolar, bersama dengan dasar rangsangan sifar COVID-19 dan fiskal China yang melemahkan yuan.

 

Firma itu mendapati setakat ini, dolar AS telah mengukuh 6% kepada RM4.41 meningkat baru-baru ini kepada RM4.42 berikutan lonjakan inflasi AS pada Mei sebanyak 8.6% tahun ke tahun yang membawa kepada kenaikan kadar faedah yang lebih agresif sebanyak 75 mata asas (bps) kepada julat 1.5 hingga 1.75% oleh Rizab Persekutuan AS (Fed). 

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan pandangan bahawa ringgit mengukuh hingga mencecah RM4.32 berbanding dolar AS pada suku ketiga ini manakala RM4.20 hingga RM4.25 (berbanding konsensus Bloomberg pada RM4.30) menjelang suku keempat 2022. 

 

"Pengukuhan ini berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini diunjur berkembang 5.6%, pengurusan mata wang yang berhemat dan penetapan harga kenaikan kadar AS bersama-sama spekulasi potensi kelembapan ekonomi AS pada 2023 yang bermakna, dolar melemah semula. 

 

"Kami juga menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) antara 2.25 hingga 2.50% pada suku keempat ini, berkemungkinan lebih rendah daripada jangkaan kadar dana persekutuan AS dalaman kami sebanyak 3.00 hingga 3.25%," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Fed malam tadi mengumumkan kenaikan kadar faedah paling agresif dalam hampir 30 tahun dan berkata ia bersedia untuk berbuat demikian sekali lagi pada bulan hadapan dalam langkah habis-habisan mengawal inflasi yang tinggi.

 

Kenaikan besar-besaran 75 bps itu dibuat setelah Fed berdepan tekanan dalam mengekang kenaikan harga bahan api dan makanan yang menyebabkan berjuta-juta rakyat AS bergelut untuk memenuhi keperluan hidup dan sokongan terhadap Presiden Joe Biden menurun.

 

Pengerusi Fed Jerome Powell berkata, ia adalah "penting" untuk merendahkan inflasi, dan penggubal dasar" mempunyai instrumen yang kami perlukan untuk menstabilkan harga kepada isi rumah Amerika."

 

Ini menyaksikan nilai ringgit terus meningkat untuk dibuka tinggi pagi ini berbanding dolar AS kepada RM4.3970/3955 daripada penutupan semalam pada RM4.412/4150.

 

Bursa Malaysia turut dibuka tinggi mengikuti kerancakan prestasi semalaman Wall Street selepasFed mengambil keputusan menaikkan kadar faedah.

 

Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.34 mata kepada 1,471.39 daripada penutup semalam iaitu 1,459.05.

 

Berdasarkan analisis sensitiviti yang dijalankannya mengenai pengukuhan dolar AS kepada RM4.40, RM4.60 dan RM4.80, AmInvestment mendapati kebanyakan sektor mengalami impak yang kecil.

 

Namun, katanya, hanya pendapatan segmen automotif pada 2023 akan terjejas dengan ketara antara 6 hingga 18% daripada kos komponen yang didenominasi dolar AS yang lebih tinggi.

 

Penerima manfaat pula ialah Hibiscus Petroleum Bhd. kerana hasil minyak dan gas huluannya boleh diterjemahkan kepada pertambahan pendapatan yang ketara sebanyak 5 hingga 15%.

 

"Sektor teknologi turut meraih manfaat sederhana daripada pengukuhan dolar AS ini sekitar 3 hingga 8%.
Walaupun syarikat sarung tangan adalah pengeksport yang boleh mengalami lonjakan 29 hingg 87% dalam pendapatan FY23 daripada hasil dolar AS yang lebih tinggi selepas ditolak kos bahan mentah, ini dengan mudah boleh diimbangi lebih daripada penurunan harga jualan purata. 

 

"Perolehan teras segmen lain yang boleh terjejas sedikit ialah pelabuhan (1-3%), perkhidmatan pembuatan elektronik (1-4%) dan telekomunikasi (2-3%)," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu lebih bimbang terhadap permintaan dalam negeri yang semakin lemah kerana inflasi akan melemahkan sentimen pengguna yang didorong oleh import yang lebih tinggi.

 

"Analisis kami terhadap konstituen FBM KLCI mendapati 6.5% daripada indeks boleh terjejas, terdiri daripada Nestle, operasi peruncitan MR DIY dan segmen automotif Sime Darby.

 

"Dengan mengandaikan penguncupan pendapatan 10% untuk 3 saham ini diterjemahkan kepada penurunan 1.2 mata peratusan pertumbuhan EPS 2023 kami daripada 8.3% kepada 7.1%," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir tahun ini pada 1,745 mata, disandarkan kepada median 5 tahunnya kerana kedua-dua pelabur asing dan tempatan berkemungkinan beralih semula kepada posisi belian menjelang akhir tahun ini di tengah-tengah keterlihatan yang lebih jelas kepada jangkaan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) 2023 sebanyak 8.3% .

 

Menurutnya, dalam jangka masa terdekat, ketidaktentuan aliran dana boleh melebarkan lagi julat indeks kepada 1,400 dan 1,600 mata (berbanding 1,500 hingg 1,600 mata sebelum ini).

 

"Ini kerana pembukaan semula sempadan antarabangsa baru-baru ini dan ekonomi yang lebih kukuh mungkin dapat dikurangkan oleh kebimbangan stagflasi, turun naik pendapatan di tengah-tengah perubahan harga komoditi, kejutan rantaian bekalan selanjutnya daripada Rusia yang diboikot ekonomi global, pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta khabar angin menjelang pilihan raya umum ke-15," katanya. - DagangNews.com