Penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat 1.8% bagi 2023 didorong pemulihan sektor industri di Semenanjung Malaysia - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat 1.8% bagi 2023 didorong pemulihan sektor industri di Semenanjung Malaysia - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kenanga Research mengunjurkan permintaan penggunaan tenaga elektrik berkembang sebanyak 1.8% bagi 2023, lebih tinggi berbanding jangkaan perkembangan sebanyak 1.7% di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3).

 

Firma itu berkata, peningkatan permintaan itu didorong oleh pemulihan dalam sektor industri di Semenanjung Malaysia.

 

Katanya, dari segi kos bahan api (untuk kedua-dua arang batu dan gas), dipercayai ia telah memuncak pada suku keempat 2022.

 

Firma itu berkata, sebagai contoh, harga arang batu penanda aras Indonesia telah ditarik balik sebanyak 5% kepada purata AS$291 bagi setiap tan berbanding AS$307 satu tan pada suku keempat 2022.

 

"Hasilnya, surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah lebih rendah sebanyak RM12 bilion pada 2HFY23 berbanding RM16.2 bilion pada 1HFY23 (TNB akan mendapat semula amaun penuh daripada ICPT 20 sen/kWj daripada pelanggan bukan domestik dan bayaran RM10.4 bilion daripada kerajaan).

 

"Ini akan mengakibatkan penghutang ICPT mereka merosot kepada RM12 bilion menjelang Jun 2023, daripada RM16.9 bilion pada 4QFY22.

 

"Aliran tunai yang kukuh akan membantu mengurangkan hutang TNB dan kos perkhidmatan faedah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kos purata wajaran modal (WACC) lebih rendah bagi Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) untuk utiliti gas bermula Januari 2023 disokong Asas Aset Terkawal (RAB).

 

Firma itu menganggarkan, WACC di bawah RP2 berada pada 7% tinggi untuk Petronas Gas Berhad dan antara 7.3% hingga 7.5% untuk Gas Malaysia Berhad.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu kerana kebanyakan kerana kebanyakan saham utama dinilai sepenuhnya.

 

"Oleh itu, sektor ini menawarkan pendapatan defensif disebabkan oleh model RAB mereka dan dividen berulang," katanya. - DagangNews.com