Pengguna Raiz kini boleh simpan, labur duit baki harian secara maya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengguna Raiz kini boleh simpan, labur duit baki harian secara maya

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Raiz Malaysia Sendirian Berhad, syarikat usaha sama antara Raiz Invest Australia Limited (Raiz) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) meningkatkan lagi pengalaman pelaburan mikro untuk semua penggunanya dengan membolehkan pautan kad dari semua bank di aplikasi pelaburan mikronya, Raiz melalui perkongsiannya dengan Visa. 

 

Dengan ciri auto-bundar Raiz, pemegang kad bank kini dapat menyimpan duit baki harian mereka dan meningkatkan simpanan mereka hanya di belakang tabir sambil menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.

 

Ketua Eksekutif Raiz Malaysia, Aidi Izham berkata, perjanjian ini adalah detik penting bagi Raiz di Malaysia. 

 

"Kami teruja dengan peluang dan kemajuan yang telah dicapai melalui hubungan sedia ada dengan Maybank dan PNB.

 

"Kerjasama baru dengan Visa ini akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengakses semua ciri-ciri aplikasi Raiz untuk menambah baik kedudukan kewangan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Raiz, platform perkhidmatan kewangan mudah alih terbesar di Australia, membangunkan aplikasi pelaburan mikro pertama di rantau Asia Tenggara yang membolehkan orang ramai menyimpan dan melabur duit baki harian mereka secara automatik. 

 

Ia berterusan menambah fungsi aplikasinya didorong oleh maklum balas pelanggan. Raiz memulakan operasinya di Malaysia pada pertengahan tahun 2020 dan sudah mempunyai lebih daripada 100,000 pengguna aktif. 

 

Melalui kerjasama dengan Visa ini, syarikat kini boleh meningkatkan pertumbuhannya di pasaran Malaysia. Raiz juga mempunyai operasi di Indonesia dan kini ingin berkembang ke Thailand. 

 

Ia juga merancang untuk memperkenalkan teknologi yang sama ke negara-negara ini. - DagangNews.com