Pengembangan kilang di Ivory Coast, UK jadi pemangkin Guan Chong, RHB IB kekalkan saranan 'Beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengembangan kilang di Ivory Coast, UK jadi pemangkin Guan Chong, RHB IB kekalkan saranan 'Beli'

Kilang GCB Cocoa UK di Suffolk.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pengembangan kapasiti pengeluaran di Ivory Coast dan United Kingdom (UK) merupakan faktor pemangkin untuk jangka sederhana bagi pengeluar bahan makanan daripada koko, Guan Chong Berhad.

 

Menurut RHB Investment, Guan Chong menambah kapasiti sebanyak 5,000 tan di kilangnya di Ivory Coast dan turut merancang untuk menambah 20,000 kapasiti di Asia menjelang 2H24, lantas membawa jumlah kapasiti pengisaran kepada 355,000 tan setahun. 

 

"Di UK, pihak pengurusan berhasrat untuk menambah kapasiti coklat perindustrian sejumlah 6,000 tan (bakal dilaksanakan pada 2H24), maka jumlah kapasiti akan mencecah 22,000 tan, di samping kemudahan arak dan pencairan mentega. 

 

"Jumlah perbelanjaan modal (capex) yang dirancang untuk kemudahan-kemudahan tambahan ini dianggarkan mencecah sekitar RM120 juta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, kata RHB Investment, perolehan suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) patut terus teguh dan prestasi tahun ini djangka memecah rekod, disokong oleh Harga jualan purata (ASP) yang sedang menaik, hasil lebih tinggi dan kedudukan perlindungan yang menguntungkan. 

 

Firma penyelidikan itu tetap memandang positif akan gambaran dan potensi perolehan Guan Chong, yang diperkukuh oleh paras nisbah gabungan yang tertinggi akibat permintaan berterusan untuk koko dengan tawaran khidmat pengisaran dan bekalan biji yang terhad. 

 

"Mengikut jangkaan kami, perolehan 2Q24F akan kekal kukuh pada lingkungan RM80 juta-RM100 juta, bertentangan dengan jangkaan untung besar satu kali oleh pasaran pada 1Q24 yang diterima daripada inventori/perlindungan nilai. 

 

"Untuk 2H24, trend ASP lebih tinggi untuk serbuk koko dan mentega kokonya bermakna ia mungkin dapat mencatat prestasi lebih kukuh separuh tahun ke separuh tahun (HoH). Kami dapati kapasiti untuk FY24 terjual dengan baik, dan kira-kira 30% daripada kapasiti FY25 sudah ditempah," jelasnya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kadar penggunaan kilang patut berada pada paras optimum memandangkan bahan-bahan koko terus menerima permintaan kukuh, meskipun penghantaran biji koko mengalami sedikit kelewatan akibat kesesakan yang masih berlaku di pelabuhan. 

 

Katanya, kebanyakan eksport Guan Chong dibuat secara FOB (Free On Board) dan kadar penghantaran muatan yang lebih mahal tidak dijangkakan memberi tekanan ketara pada ASP semasa kekurangan bekalan.

 

"Nisbah gabungan tertinggi yang terus direkodkan (nisbah mentega: >3x, nisbah serbuk koko: >0.7x) sejak bulan Mac (disebabkan oleh bekalan yang masih terhad) dijangka dapat mencatatkan perolehan yang jauh lebih kukuh selama 6-9 bulan kerana Guan Chong melaksanakan mekanisme jualan hadapan. 

 

"Hal ini berkemungkinan akan melonjakkan untung bersih Guan Chong ke paras tinggi baharu pada FY25 sekiranya lebih banyak jualan hadapan dibuat pada nisbah yang tinggi," ujarnya.

 

Sementara itu, kata RHB Investment, harga biji koko dijangka menurun, tetapi tetap tinggi pada 2H24 dan 1H25, dengan mencecah AS$5,900 sehingga AS$8,500 satu tan ekoran permintaan yang berterusan tinggi berdasarkan anggaran Bloomberg. 

 

"Selain keadaan bekalan terhad yang berlaku sekarang, industri koko mungkin akan mengalami perubahan secara struktur, iaitu nisbah gabungan mungkin kekal tinggi biarpun bekalan biji koko meningkat. 

 

"Hal ini disebabkan oleh keadaan operasi baharu iaitu premium risiko lebih tinggi, kos perlindungan nilai dan pegangan tambahan yang perlu ditanggung oleh syarikat pengisar akibat keadaan yang tidak menentu sekarang," katanya yang mengekalkan saranan 'Beli' pada harga sasaran RM5.10.- DagangNews.com