Pengecualian bayaran bil air untuk mangsa banjir di Lembah Klang - Air Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengecualian bayaran bil air untuk mangsa banjir di Lembah Klang - Air Selangor

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengumumkan pengecualian bayaran bil bagi air bulan ini kepada para pelanggan akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor yang terkesan akibat bencana banjir. 

 

Air Selangor memaklumkan, pelanggan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh sebulan secara automatik, yang mana mereka tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.

 

Jelasnya, pengecualian itu merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit yang diumumkan kerajaan negeri.

 

"Sepanjang tempoh pengecualian bayaran ini, bil air bulanan akan terus dikeluarkan oleh Air Selangor. Namun begitu, para pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh yang telah dinyatakan.

 

"Air Selangor memahami kesulitan yang dialami oleh para pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap agar bantuan ini akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka," menurut Air Selangor menerusi laman Facebook.

 

Air Selangor turut memanjangkan pengecualian bayaran bil air kepada para pelanggan dengan akaun Domestik yang terkesan di Kuala Lumpur. 

 

Untuk senarai penuh daerah dan kawasan terlibat, anda boleh rujuk di https://bit.ly/3eM0OFx - DagangNews.com