Pengasas Public Bank meninggal dunia pada usia 92 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengasas Public Bank meninggal dunia pada usia 92 tahun

Tan Sri Teh Hong Piow

KUALA LUMPUR 12 Dis - Pengasas dan pengerusi emeritus Public Bank Bhd., pengarah dan penasihat, Tan Sri Teh Hong Piow telah meninggal dunia pada 10.20 pagi ini pada usia 92 tahun.

 

"Public Bank telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat dan berwawasan. Mendiang meninggalkan sebuah organisasi yang hebat yang hanya boleh dibina olehnya, dan warisannya akan menjadi asas kepada Public Bank Group.

 

"Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada Public Bank Group. Bagi pihak lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan kumpulan, kami menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada ahli keluarganya,” menurut kenyataan Public Bank.

 

Memulakan karier pada 1950 sebagai kerani bank di Overseas-Chinese Banking Corporation Ltd., mendiang memiliki 72 tahun pengalaman dalam industri perbankan dan kewangan.

 

Pada 1960, Hong Piow kemudiannya menyertai Malayan Bankingh sebagai pengurus dan pada 1964 dinaikkan pangkat ke jawatan pengurus besar pada usia semuda 34 tahun.

 

Selepas dua tahun, mendiang yang dilahirkan pada 14 Mac 1930 meningggalkan Malayan Banking dan menubuhkan Public Bank. 

 

Pada 6 Ogos 1966, Public Bank memulakan perniagaannya di cawangan pertama yang terletak di Jalan Gereja, Kuala Lumpur.

 

Public Bank telah disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) pada 6 April 1967.

 

Bank itu kini merupakan syarikat kedua terbesar yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran sebanyak RM85 bilion.

 

Hong Piow telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Seri Tay Sock Noy sejak 1956 dan dikurniakan empat cahaya mata. - DagangNews.com