KUALA LUMPUR 15 Feb - Pengasas bersama Revenue Group Bhd., Brian Ng Shih Chiow dan Dino Ng Shih Fang terus mengurangkan kepentingan mereka dalam syarikat penyedia penyelesaian e-pembayaran itu kepada 17.71% ketika ini.
Menurut makluman di Bursa Malaysia semalam, Brian juga telah memindahkan kesemua 55.5 juta sahamnya atau 11.51% dalam kumpulan kepada adiknya, Dino.
Dino, kini pemegang saham tunggal terbesar kumpulan itu dengan 85.38 juta saham, telah membeli dan menjual saham dalam syarikat itu sejak minggu lalu.
Sejak 8 hingga 13 Februari lalu, Dino menjual sejumlah 27.43 juta saham pada harga antara 45.3 sen dan 52.4 sen sesaham dengan jumlah keseluruhan RM13.36 juta.
Dalam tempoh tersebut, beliau juga membeli 4.1 juta saham pada harga antara 44.5 sen dan 51.2 sen sesaham berjumlah RM1.9 juta.
Pemegang saham utama Revenue Group yang lain adalah pengarah urusan Datuk Eddie Ng Chee Siong dengan 8.33% kepentingan.
Eddie tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua beradik itu.
Brian dan Dino kini di dalam proses perbicaraan mahkamah terhadap Revenue Group selepas mereka digantung daripada jawatan pengarah eksekutif pada 4 Januari 2023 apabila syarikat itu berkata, ia menerima beberapa aduan terhadap mereka.
Pada 27 Januari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan kedua-dua mereka atas dakwaan tuntutan palsu berkaitan pembelian kertas percetakan haba bernilai lebih RM400,000.
Pada 10 Februari, Dino dan Brian memfailkan pembelaan mereka dan tuntutan balas terhadap Revenue Group, menyatakan bahawa penggantungan mereka sebagai pengarah kumpulan itu adalah tidak sah.
Setakat pukul 11.24 pagi ini, harga saham kumpulan tersebut kekal tidak berubah pada harga 49 sen sesaham setelah merekodkan kejatuhan saham sebanyak 28% sejak awal tahun ini. -DagangNews.com








