Penganalisis semak turun harga sasaran Hartalega, jangka untung bersih FY23 susut 84% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis semak turun harga sasaran Hartalega, jangka untung bersih FY23 susut 84%

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Mei - Firma-firma penyelidikan menyemak turun harga sasaran (TP) Hartalega Holdings Bhd. berikutan beberapa faktor yang dilihat akan menjejaskan prospek kumpulan pada tahun kewangan seterusnya.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, kumpulan mencatat kerugian RM189.7 juta berbanding keuntungan RM1.12 bilion bagi tempoh sama tahun lalu terutama disebabkan peruntukan untuk membayar Cukai Makmur. 

 

Bagaimanapun, Hartalega merekodkan keuntungan selepas cukai lebih tinggi sebanyak RM3.23 bilion bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Mac 2022 (FY22), berbanding RM2.9 bilion tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

CGS-CIMB Research mengurangkan TP kepada RM4.70 daripada RM5.80 sebelum ini selepas menyemak turun pendapatan sesaham (EPS) Hartalega bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 13.9% dan 17.3%.

 

Menurut firma itu, semakan semula lebih rendah itu dibuat selepas mengambil kira kos input yang tinggi, kesan daripada gaji minimum, tarif elektrik dan gas asli serta skala ekonomi yang lebih rendah.  

 

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan untung bersih Hartalega akan merosot sehingga 84% tahun ke tahun pada FY23 sebelum trajektori pertumbuhan hasil meningkat 10.6% dan 10.7% masing-masing bagi FY24 dan FY25.

 

"Walaupun kumpulan menyaksikan jumlah jualan yang meningkat pada suku keempat, tetapi kami menjangkakan harga jualan purata (ASP) akan melemah pada suku pertama FY23 (dengan penurunan seterusnya sebanyak 5 hingga 7% bagi suku ke suku kepada AS$25 hingga AS$27 per 1,000 keping)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Untung bersih Hartalega bagi FY22 melonjak 11.8% kepada RM3.23 bilion

 

Namun, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Hartalega berikutan kedudukannya sebagai peneraju teknologi dalam ruang nitril dan usaha ke arah automasi yang lebih berbanding pemain lain.

 

"Prospek pendapatannya bagaimanapun dijangka kekal lemah dalam tempoh terdekat dengan potensi kenaikan yang terhad," tambahnya.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Hartalega, dengan TP lebih rendah pada RM4.31 berbanding RM5.88 sebelum ini. 

 

Firma itu turut menyemak turun anggaran hasil kumpulan bagi FY23 sebanyak 21% kepada RM755.8 juta.

 

"Semakan ini mencerminkan kos pematuhan sosial yang lebih tinggi dan kos operasi lebih tinggi disebabkan pelaksanaan gaji minimum dan kos kadar tukaran asing bagi bahan mentah," jelasnya.

 

Menurutnya, risiko kepada penarafan bergantung kepada penurunan ASP yang lebih pantas daripada jangkaan dan ketidaktentuan dalam mata wang.

 

Setakat 9.24 pagi ini, harga saham Hartalega susut 3 sen atau 0.69% kepada RM4.31 dengan 102,100 saham diniagakan. - DagangNews.com