Penganalisis : Faktor luaran masih membimbangkan, boleh jejaskan pertumbuhan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis : Faktor luaran masih membimbangkan, boleh jejaskan pertumbuhan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Mei - Di sebalik beberapa ketidaktentuan luaran, penganalisis optimis ekonomi negara akan berkembang kukuh pada 2022. 

 

Ini berdasarkan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif pada suku pertama 2022 dengan berkembang 5%., seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM), Jumaat lalu. 

 

Menurut AmBank Investment Bank Research, antara faktor luaran yang masih membimbangkan terutamanya perang Rusia-Ukraine, sekatan yang dikenakan negara barat terhadap Rusia, dasar sifar COVID-19 di China dan kenaikan kadar faedah secara agresif. 

 

Ketegangan geopolitik di Sri Lanka, risiko krisis hutang dan ketidaktentuan pasaran kewangan juga masih dilihat akan terus mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi.

 

"Pada masa sama, ekonomi di peringkat domestik turut berdepan dengan beberapa tekanan daripada gangguan rantaian bekalan, kenaikan kos dan peningkatan kos sara hidup.

 

"Bagaimanapun, pengukuhan ekonomi akan disokong permintaan yang positif daripada pasaran semikonduktor global, harga komoditi yang kukuh dan eksport yang didorong aktiviti pembuatan.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan KDNK tahun ini akan berkembang sekitar 5.6% dengan kenaikan 6% manakala penurunan pula 4.5%," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah berkata, ekonomi dalam negeri dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan antara 5.3% hingga 6.3% seperti yang diumumkan pada Mac 2022. 

 

Unjuran itu disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh, permintaan luaran yang terus berkembang dan pasaran pekerja yang terus bertambah baik. 

 

Baca : BNM : Ekonomi suku pertama 2022 berkembang 5%, jangka prospek 2022 lebih baik

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research menyifatkan pertumbuhan kukuh suku pertama meningkatkan harapan untuk menyaksikan pertumbuhan yang lebih baik pada suku seterusnya. 

 

Dari segi penggunaan swasta, pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara besar-besaran, pendapatan berkaitan komoditi yang tinggi dan pemulihan berterusan dalam pasaran buruh, mencerminkan peningkatan perbelanjaan isi rumah.

 

"Bagaimanapun, risiko kelembapan global telah meningkat di tengah-tengah ketidakpastian mengenai tahap kelembapan China, kesan buruk kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang agresif terhadap ekonomi AS, dan krisis Rusia-Ukraine yang berlarutan," jelasnya. 

 

Firma itu mengekalkan jangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal akomodatif di sebalik ketidaktentuan global. 

 

"Kami masih berpendirian, BNM menaikkan 2 lagi kenaikan dengan 25 mata asas setiap kenaikan pada separuh kedua 2022, dengan mencecah 2.5%.

 

"Malah, kami juga mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini pda 5.6% dengan risiko meningkat," tambahnya.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan unjuran KDNK 2022 pada 6% dengan menjangkakan pertumbuhan akan bertambah baik mulai suku kedua dan seterusnya. 

 

Katanya, pertumbuhan ekonomi global yang mampan dan harga komoditi tinggi juga akan terus menyokong prospek eksport Malaysia, justeru, pertumbuhan eksport yang mampan akan menjadi satu lagi faktor untuk menyokong perkembangan ekonomi tahun ini.

 

"Namun, masih terdapat beberapa risiko penurunan yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan. Ini termasuk kebimbangan mengenai kelembapan di China, gangguan berpanjangan dalam rantaian bekalan global, perang yang berterusan di Ukraine dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan disebabkan pengetatan dasar monetari," kata firma itu. - DagangNews.com