Penganalisis ekonomi positif dengan prospek TNB susulan penstrukturan semula tarif elektrik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis ekonomi positif dengan prospek TNB susulan penstrukturan semula tarif elektrik

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Dis - Firma-firma penyelidikan positif dengan prospek Tenaga Nasional Bhd. (TNB) susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menstrukturkan semula tarif elekrik memandangkan kerajaan menanggung kos subsidi bahan api yang tinggi mencecah sehingga RM30 bilion.

 

Dalam pengumuman itu, kerajaan akan menaikkan tarif elekrik kepada syarikat multinasional yang mengeksport produk ke luar negara dan memansuhkan pemberian subsidi kepada syarikat gergasi yang mencatat keuntungan tinggi.

 

Bagi pengguna domestik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, kerajaan memberi jaminan tiada kenaikan tarif elekrik pada separuh pertama 2023 bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan kos yang tinggi.

 

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, keputusan kerajaan itu sekurang-kurangnya akan membenarkan beberapa pelepasan kos langsung melalui syarikat 'gergasi', sekali gus memberikan kejelasan lebih baik mengenai prospek aliran tunai TNB.

 

Bagaimanapun, katanya, definisi 'syarikat gergasi' masih tidak jelas sama ada pengguna kategori tersebut menyumbang sebahagian besar kepada permintaan.

 

"Namun begitu, keputusan ini sepatutnya membawa keceriaan kepada pengguna domestik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor bukan domestik kerana tarif dijangka kekal tidak berubah.

 

"Ini juga sepatutnya mengurangkan kebimbangan mengenai tekanan inflasi domestik sekiranya kerajaan meneruskan kenaikan tarif secara menyeluruh," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

TNB

 

 

Menurut beliau, dalam bahagian kedua pengumuman itu mencadangkan bahawa TNB mungkin masih bergantung kepada pembayaran subsidi daripada kerajaan (yang pada asasnya dibayar bagi pihak pengguna elektrik) untuk mendapatkan semula Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang kurang pulih.

 

Katanya, butiran penting yang perlu diberi perhatian ialah masa dan magnitud pembayaran subsidi  kerana ia secara kritikal akan menentukan kemuncak dalam aliran ICPT belum terima dan kekangan aliran tunai yang terhasil.

 

Hafriz berkata, penangguhan keputusan kerajaan mengenai baki pembayaran ICPT TNB sudah menjadi isu tertunggak dengan penghutang ICPT berjumlah RM12.1 bilion setakat akhir separuh pertama 2022.

 

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM5.8 bilion telah disubsidi oleh kerajaan, dianggarkan RM1.6 bilion dikutip melalui 3sen /kwh surcaj untuk sektor bukan domestik, manakala keputusan untuk berurusan dengan jumlah baki itu telah tertangguh.

 

"Menjelang akhir tahun, TNB dijangka menyaksikan penghutang ICPTnya meningkat kepada RM16.4 bilion, diterjemahkan kepada anggaran surcaj ICPT sebanyak 27sen/kwj jika diluluskan dalam tempoh enam bulan akan datang, atau kenaikan 68% berbanding tarif asas sebanyak 39.95sen/kwh," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor tenaga, dengan saranan 'beli' terhadap TNB pada harga sasaran RM8.45 sesaham. 

 

 

TNB

 

 

Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Daniel Wong berkata, pengumuman itu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kerangka kerja ICPT dan mampu melindungi hasil TNB daripada ketidaktentuan kos tenaga bahan api.

 

Katanya, walaupun ia memberi impak neutral kepada TNB, tetapi langkah tersebut dilihat positif terhadap syarikat utiliti itu dan juga sektor tenaga.

 

"Kami secara keseluruhan positif dengan keputusan ini, menandakan kesediaan kerajaan untuk menyusun semula subsidi dan memastikan kemampanan jangka panjang sektor tenaga.

 

"Malah, komitmen kerajaan baharu terhadap rangka kerja ICPT, dapat meredakan kebimbangan pelabur terhadap risiko kawal selia," katanya.

 

Wong berkata, keputusan kerajaan menyerahkan sebahagian daripada beban subsidi yang lebih tinggi kepada syarikat multinasional dan gergasi, mengurangkan potensi komitmen subsidi tinggi, yang telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap potensi risiko belum terima kepada TNB.

 

TNB baru-baru ini memaklumkan kerajaan telah membayar sepenuhnya subsidi RM5.8 bilion pada separuh kedua 2022, membuktikan komitmen kerajaan terhadap rangka kerja ICPT.

 

"Berdasarkan ICPT berjumlah RM16.4 bilion pada separuh pertama 2023, kami menganggarkan surcaj sebanyak 27.7 sen/kWj, yang kami jangka akan membebankan semua pihak dalam menghadapi risiko inflasi dan pemulihan ekonomi jika kerajaan baharu memutuskan untuk tidak memberi subsidi. 

 

"Oleh itu, kami percaya kerajaan baharu sedang melaksanakan pendekatan seimbang untuk melindungi kumpulan pengguna akhir yang diperlukan sambil menyokong pemulihan ekonomi," jelasnya.

 

Berikutan prospek hasil TNB yang dijangka kekal stabil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran pada RM11.65 sesaham. 

 

Setakat 11.09 pagi ini, harga saham TNB susut 6 sen atau 0.64% kepada RM9.28 dengan 240,900 saham diniagakan. -DagangNews.com