Pengambilalihan Ramsay Sime Darby bantu langkah pengembangan IHH di Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan Ramsay Sime Darby bantu langkah pengembangan IHH di Asia Tenggara

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Mac - Cadangan pengambilalihan 100% syarikat usaha sama (JV) 50:50, Ramsay Sime Darby Health Care Sdn. Bhd. (Ramsay SDH) mampu memperkukuhkan kedudukan IHH Healthcare Bhd. di rantau Asia Tenggara, menurut Public Investment Bank Research. 

 

Malah, firma itu juga melihat, ia membolehkan IHH menembusi Indonesia, pasaran baharu yang sedang berkembang. 

 

"Oleh itu, kami menilai langkah ini adalah positif kepada IHH dan juga Sime Darby. Harga indikatif nilai pelupusan pada RM5.67 bilion juga dilihat wajar hampir 25x nilai perusahaan (EV)/EBITDA, berbanding transaksi nilai aset penjagaan kesihatan sebelum ini sekitar 22-24x," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Sime Darby Holdings Bhd. (SDH) dan Ramsay Health Care Ltd. telah menerima cadangan daripada IHH untuk mengambil alih Ramsay SDH.

 

Baca : IHH Healthcare cadang beli Sime Darby Health Care bernilai RM5.67 bilion

 

Di bawah cadangan indikatif itu, nilai perusahaan indikatif bersyarat untuk Ramsay SDH ialah RM5.67 bilion atas asas tanpa tunai, tanpa hutang.

 

Cadangan indikatif itu tertakluk kepada syarat penyelesaian usaha ketekunan wajar yang memuaskan, rundingan dan muktamadnya perjanjian jual beli.

 

Berdasarkan laporan kewangan SDH bagi tahun kewangan 2021, Ramsay Sime Darby menjana hasil sebanyak RM1.06 bilion dan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM122 juta.

 

Menurut Public Investment, memandangkan beberapa negara yang paling cepat menua ditemui di Asia Tenggara, rantau ini berpotensi menjana peluang pertumbuhan baharu untuk IHH. 

 

"Selain itu, populasi kelas pertengahan yang berkembang pesat di rantau ini dijangka merangsang permintaan untuk penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti," jelasnya.

 

Firma itu memberi penarafan 'outperform' terhadap IHH manakala 'neutral' bagi Sime Darby dengan harga sasaran masing-masing pada RM7.50 dan RM2.32.

 

"Kami berpendapat, langkah ini juga membolehkan Sime Darby menjana kewangan daripada aset bukan teras, dengan sebahagian hasilnya boleh digunakan untuk membayar dividen khas," katanya. - DagangNews.com