Pengambilalihan menara telekomunikasi, jadikan edotco pengendali terbesar di Filipina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan menara telekomunikasi, jadikan edotco pengendali terbesar di Filipina

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 April - Axiata Group Bhd. mengesahkan anak syarikat dengan 63% pegangan, edotco Group Sdn. Bhd., menerusi anak syarikat milik penuhnya di Filipina, memeterai perjanjian jual beli bagi pengambilalihan menara telekomunikasi di negara tersebut bernilai 42 bilion peso (RM3.42 bilion) daripada PLDT Inc.

 

Pengambilalihan itu menjadikan edotco Group sebagai syarikat menara terkemuka (TowerCo) di negara tersebut dengan 3,073 menara. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia pagi ini, dagangan sahamnya telah dihentikan antara 9 hingga 10 pagi pada Rabu sempena pengumuman pembelian menara tersebut.

 

Semalam, PLDT Inc., penyedia perkhidmatan digital dan telekomunikasi terbesar di Filipina dilaporkan telah menandatangani perjanjian perjanjian jual beli untuk melupuskan 5,907 menara telekomunikasi di kepulauan Luzon, Visayas dan Mindanao kepada kepada edotco, dan EdgePoint Infrastructure pada harga 77 bilion peso (AS$1.47 bilion). 

 


Baca : EdgePoint memasuki pasaran Filipina dengan pembelian 3,000 menara telekomunikasi daripada PLDT

 

Sementara itu menurut Public Investment Bank Research dalam nota kajiannya hari ini berkata, sektor telekomunikasi di Filipina mempunyai potensi untuk berkembang dengan pantas berikutan permitaan terhadap keterhubungan yang semakin meningkat.

 

Firma itu berkata, ia dijangka meneruskan trajektori pertumbuhannya, disokong oleh peningkatan permintaan untuk ketersambungan dengan trend peningkatan penstriman video mudah alih dan pertumbuhan e-dagang. 

 

Katanya, Filipina agak ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara lain dari segi kepadatan menara, menyebabkan wujudnya keperluan mendesak untuk mengembangkan dan menaik taraf infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kualiti dan liputan.

 

"Ketika ini, negara berkenaan hanya mempunyai 22,405 menara telekomunikasi, justeru, kami melihat terdapat potensi pertumbuhan sektor telekomunikasi di negara ini memandangkan pertumbuhan pesat dalam permintaan untuk keterhubungan.

 

"Tambahan pula, menjelang 2025, langganan jalur lebar dan mudah alih di Filipina masing-masing dijangka mencecah 159 juta dan 10.8 juta (berdasarkan Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa, Amerika Syarikat)," katanya.

 

Menurut Public Investment, daripada jumlah menara yang dilupuskan itu, edotco akan memperoleh 2,973 menara telekomunikasi, sekali gus menjadikannya sebagai pengendali menara terbesar di Filipina.

 

Katanya, perjanjian itu juga merupakan pembelian terbesar aset Filipina oleh pelabur asing dan membolehkan PLDT memperbaiki kedudukan tunainya, mengurangkan hutang dan meningkatkan pendapatan masa depan (daripada kos operasi dan penjimatan perbelanjaan modal) kira-kira 10% setiap tahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

"Malah, kos pengambilalihan dilihat wajar pada AS$250,000 bagi setiap menara. Selain itu, PLDT juga dijangka memajak semula menara berkenaan untuk kira-kira 7 bilion peso setahun (AS$134 juta setahun) dalam tempoh 10 tahun," katanya.


 
Bagaimanapun, secara keseluruhan, firma itu buat masa ini mengekalkan penarafan saham Axiata dengan saranan 'neutral' pada harga sasaran RM4.30 sesaham. 

 

Setakat 10.42 pagi ini, harga saham Axiata menokok 6 sen atau 1.67% kepada RM3.66 sesaham dengan 474,000 saham diniagakan. - DagangNews.com