Pengambilalihan 25% kepentingan dalam PCFS mampu letakkan Sabah sebagai pemain petrokimia di rantau Borneo - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan 25% kepentingan dalam PCFS mampu letakkan Sabah sebagai pemain petrokimia di rantau Borneo - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Jan - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Petronas Chemicals Group Bhd. dengan harga sasaran pada RM11.77 sesaham selepas melupuskan 25% pegangan dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn. Bhd. (PCFS) kepada SMJ Sdn. Bhd.

 

Menurut firma itu, SMJ yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri Sabah adalah sebahagian daripada inisiatif pembangunan di negeri itu, yang memainkan peranan penting dalam memajukan sektor perindustriannya, termasuk petrokimia dalam industri.

 

Katanya, sebahagian daripada inisiatifnya dalam sektor perindustrian adalah untuk mendapatkan pelaburan berpotensi dalam pertumbuhan ekonomi Sabah bagi 2021-2025.

 

"Sabah juga mempunyai 11 tcf gas asli dan 1.5 boe rizab minyak mentah, yang masing-masing membentuk sehingga 12% dan 25% daripada jumlah rizab gas dan minyak Malaysia.

 

"Ini memberi peluang besar kepada Sabah untuk memanfaatkan sektor minyak dan gasnya.

 

"Oleh itu, kami berpendapat langkah pelupusan 25% dalam PCFS akan membantu Sabah mencapai matlamat ini, di samping terus menjadi pemain petrokimia utama di rantau Borneo," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Baca : Petronas Chemicals lupus 25% kepentingan dalam PCFS kepada syarikat milik kerajaan negeri Sabah

 

 

Penjualan itu adalah sebahagian daripada usaha strategik kumpulan untuk meletakkan dirinya sebagai rakan kongsi pilihan dalam membentuk dan melaksanakan usaha oleh Petronas Chemicals dan SMJ.

 

PCFS, unit milik penuh Petronas Chemicals, terletak di Sipitang, Sabah dan mempunyai pengeluaran ammonia dan urea sebanyak 1.9 juta tan metrik setahun.

 

Menerusi Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), PCFS memainkan peranan sebagai pemacu utama pertumbuhan minyak dan gas di Sabah.

 

MIDF Research mengulangi pandangan positif terhadap prospek Petronas Chemicals sebagai pusat bagi industri petrokimia tempatan dan serantau.

 

Firma itu percaya langkah berterusan kumpulan untuk pertumbuhan dari segi perkongsian, pelaburan pengeluaran dan kemampanan akan kekal teguh sepanjang tahun.

 

"Menjelang pembentangan Bajet 2023 dan mengambil kira pasaran minyak dan gas yang dijangka stabil, kami percaya Petronas Chemicals akan terus berkongsi manfaat dengan negeri pengeluar petroleum dan memastikan industri petrokimia tempatan akan mengekalkan kedudukannya yang kukuh di rantau ini," jelasnya. - DagangNews.com