Penerima vaksin boleh rakam video suntikan - KJ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penerima vaksin boleh rakam video suntikan - KJ

Penerima vaksin boleh rakam video suntikan. Kredit gambar Berita Harian

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Penerima vaksin diberi kebenaran untuk membuat rakaman video ketika menerima suntikan vaksin COVID-19 di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV).

 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut turut mendapat kebenaran daripada Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

 

"Saya telah mengarahkan supaya seperti biasa kita pastikan SOP yang sedia ada iaitu untuk menunjukkan kepada penerima vaksin picagari yang sudah diisi dengan kuantiti yang sempurna sebelum suntikan itu berlaku.

 

"Dan kedua, kebenaran daripada saya dan saya telah meminta kebenaran Menteri Kesihatan sendiri, kalau sekiranya ada arahan untuk tidak diberikan kemudahan ini, sekarang penerima vaksin boleh (merakam) video suntikan vaksin mereka.

 

"Saya harap perkara ini dapat selesai di sini, sebab saya tidak mahu mengganggu kesungguhan barisan hadapan dalam melaksanakan tugasan mereka yang sedikit sebanyak terganggu dua tiga hari ini," katanya dalam sidang media bersama Datuk Seri Dr. Adham Baba hari ini.

 

Mengulas berkaitan kes suntikan vaksin kosong, beliau memberitahu, terdapat satu kes berlaku di Sungai Petani melibatkan Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.

 

Jelas beliau, kes berkenaan adalah satu-satunya kes di mana jururawat tersebut telah mengaku bahawa telah berlaku kecuaian disebabkan keletihan. 

 

"Jururawat tersebut telah mengaku bahawa ada kecuaian disebabkan keletihan.

 

"Amaran telah diberi kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat disebabkan jururawat itu bertugas di Kem Tentera dan jururawat itu akan melalui proses tataterbit di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujar beliau lagi.

 

Mengulas perkaitan insiden suntikan vaksin kosong  dengan sindiket penjualan vaksin, Khairy berkata, kedua-dua perkara itu sama sekali tidak berkait.

 

Perkara itu disahkan hasil daripada makluman pihak polis kepada beliau.

 

"Setakat hari ini, daripada laporan polis yang telah dibuat, tiada kaitan langsung antara kes-kes kononnya berlaku suntikan kosong dengan sindiket penjualan vaksin.

 

"Ada siasatan yang sedang dibuat terhadap kes jualan vaksin, tetapi polis telah memaklumkan kepada saya bahawa setakat ini tiada langsung kaitan antara kes kononnya berlaku suntikan kosong dengan kes kononnya ada kes penjualan vaksin," katanya lagi. - DagangNews.com