KUALA LUMPUR 3 Mei - Ramssol Group Bhd dijangka mencatatkan pendapatan lebih lemah dalam tempoh tiga suku akan datang disebabkan kos jualan dan pemasaran kembali normal, kata CGS-CIMB Research.
Kumpulan itu telah mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM2.1 juta dengan peningkatan 106.1% tahun ke tahun bagi suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) disebabkan perbelanjaan jualan dan pemasaran yang lebih rendah daripada jangkaan.
Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih teras Ramssol melebihi jangkaannya sebanyak 39% dan 33.3% daripada anggaran tahun penuh konsensus Bloomberg.
Ramssol melaporkan bahawa pendapatan RM6.5 juta telah merosot disebabkan kelemahan jualan penyelesaian pengurusan modal insan kumpulan, penyelesaian pengurusan pelajar dan aplikasi teknologi pengurusan modal insan di Malaysia.
Bagaimanapun, ia telah diimbangi sebahagiannya oleh pengiktirafan pendapatan lebih besar dalam pasaran operasi serantau yang lain iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura, yang mengalami pertumbuhan cemerlang tahun ke tahun.
Pada asas suku tahunan, kumpulan itu berjaya mencatatkan peningkatan pendapatan 6.1% pada 1QFY23 disebabkan sumbangan yang lebih baik daripada projek baharu di Thailand.
CGS-CIMB Research mengulangi saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 41sen sesaham, mengambil kira prospek pertumbuhan semasa dan model perniagaan syarikat. -DagangNews.com








