Pendapatan pelancongan kesihatan KPJ Healthcare diunjur naik 68% pada FY24 - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan pelancongan kesihatan KPJ Healthcare diunjur naik 68% pada FY24 - TA Securities

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Jun - TA Securities menjangkakan pendapatan pelancongan kesihatan KPJ Healthcare Berhad akan meningkat sebanyak 68% kepada RM324 juta pada tahun kewangan 2024 (FY24) berbanding setahun sebelumnya. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, hospital swasta yang dalam liputan pihaknya termasuk KPJ merupakan pilihan utama bagi pelancong perubatan Indonesia disebabkan beberapa faktor selain jarak yang dekat.

 

Antaranya, kata TA Securities ialah bahasa, makanan, perkhidmatan khusus dan pendekatan menumpukan kepada pesakit.

 

"Reputasi Malaysia semakin meningkat sebagai destinasi utama untuk pelancongan perubatan. 

 

"Indonesia kekal menjadi penyumbang tertinggi pelancong kesihatan ke Malaysia, dengan bahagian antara 70-80% daripada jumlah keseluruhan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

kpj
Pameran KPJ Healthcare berlangsung di Jakarta baru-baru ini.-Gambar KPJ

 

Menurut firma penyelidikan itu, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) menyasarkan segmen ini mampu menjana pendapatan sebanyak RM2.4 billion tahun 2024, berbanding RM2.2 bilion pada 2023.

 

Katanya, ini dapat memberi kesan ekonomi sebanyak RM9.6 bilion kepada industri-industri lain. 

 

"Kami percaya bahawa ini dapat dicapai melalui peningkatan pendapatan setiap pesakit disebabkan oleh inflasi penjagaan kesihatan, mendapatkan bahagian pasaran dari Singapura dan penyertaan aktif hospital-hospital swasta dalam pameran kesihatan terutamanya di Indonesia.

 

"Faktor lain ialah keputusan perjalanan tanpa visa yang diberikan kepada pelancong dari China dan India," jelasnya.

 

Sebagai perbandingan katanya, jumlah pendapatan daripada pelancongan kesihatan pada 2023 melebihi pendapatan sebelum pandemik pada tahun 2019 yang berjumlah RM1.7 billion.

 

Walau bagaimanapun, TA Securities mengesyorkan untuk mengekalkan kedudukan 'Hold' terhadap IHH (TP: RM6.65) dan KPJ (TP: RM2.03).

 

"Ini kerana kami percaya harga saham mereka telah mencerminkan pertumbuhan pendapatan yang memuaskan pada tahun 2024," ujarnya. - DagangNews.com