Pendapatan AME Elite dijangka stabil didorong prospek positif jualan hartanah industri | DagangNews Skip to main content

Pendapatan AME Elite dijangka stabil didorong prospek positif jualan hartanah industri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun - Malacca Securities menjangkakan AME Elite Consortium Berhad akan mencatatkan peningkatan yang stabil pada masa hadapan disokong oleh prospek jualan hartanah industri yang lebih kukuh.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sebelum ini menunjukkan kelemahan prestasi untuk dua tahun kewangan sebelum ini akibat impak COVID-19.

 

Katanya, selepas merekodkan jualan hartanah tinggi sebanyak RM168.4 juta untuk FY22, firma itu menjangkakan peningkatan prestasi disokong oleh hartanah industri daripada syarikat antarabangsa kesan daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

"Tempahan hartanah berdaftar AME mencecah RM132.0 juta sejak dua bulan lalu berbanding RM45.4 juta pada 4QFY22 dan pemulihan prestasi itu adalah disokong oleh pelanggan daripada Amerika Syarikat (AS) dengan nilai RM94.7 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, AME berhasrat melancarkan i-TechValley, SiLC di Johor Baharu pada penghujung Jun 2022 di atas tanah seluas 169.8 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion dan sehingga penghujung FY22 kadar tempahan yang belum direkodkan mencecah RM74.0 juta. 

 

Katanya, tempahan pembinaan bertambah sebnayak RM433.6 juta pada FY22 dengan tempahan terdahulu sebanyak RM399.8 juta yang akan membuatkan kumpulan itu sibuk untuk tempoh 18 bulan akan datang.

 

"Segmen sewaan hartanah terus menunjukkan peningkatan melalui pendapatan berulang tetap daripada perjanjian pajakan.

 

"Kadar penghunian kekal sihat di kedua-dua i-Park@Indahpura dengan kapasiti 2,290 katil (96.0%) dan i Park@Senai Airport City dengan kapasiti 2,005 katil (76.0%).

 

"Cadangan pengembangan i-Stay@Indahpura yang terdiri daripada dua blok baharu akan meningkatkan tambahan 2,290 katil, meningkatkan jumlah kapasiti kepada lebih 6,500 katil dan ia akan menjana tambahan RM7.5 juta pendapatan sewa setahun, berdasarkan penghunian penuh," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran lebih tinggi RM1.87 berbanding RM1.65.

 

"Bagaimanapun, perancangan itu terdedah kepada risiko seperti kebergantungan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia dan kelemahan pertambahan tempahan untuk aktiviti pembinaan serta penjualan hartanah industri yang lebih lemah daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com