Penambahan 16,000 pekerja asing perkukuh trajektori pertumbuhan FGV pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penambahan 16,000 pekerja asing perkukuh trajektori pertumbuhan FGV pada 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Nov - FGV Holdings Berhad (FGV) akan membawa masuk seramai 16,000 pekerja asing tambahan untuk menyelesaikan isu kekurangan tenaga buruh bagi sektor perladangan syarikat menjelang hujung 2023. 

 

Kemasukan semua pekerja asing ini akan memperkukuhkan trajektori pertumbuhan FGV berikutan pertambahan tenaga kerja dalam mempertingkatkan produktiviti dan hasil ladang.

 

Tenaga kerja asing ini dibawa masuk dari beberapa negara iaitu India, Indonesia dan Nepal. Setakat Oktober 2022, FGV sudah menerima sebanyak 4,980 pekerja dari India dan Indonesia. 

 

Bagi mempercepatkan ketibaan pekerja asing, FGV menggunakan perkhidmatan penerbangan yang dicarter untuk membawa lebih 531 pekerja asing baharu dari India pada September lalu. 

 

Inisiatif sama akan diteruskan untuk sepanjang tahun ini. FGV turut menjangkakan ketibaan 3,000 lagi pekerja baharu pada November.

 

FGV memulakan pengambilan pekerja migrannya pada Julai lalu dan sehingga kini peratusan tenaga kerja asing telah mencapai sehingga 68 peratus dan menjangkakan pertambahan 10,000 rekrut baharu menjelang akhir tahun ini dan 6,000 lagi pekerja menjelang 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, proses pengambilan pekerja FGV tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19. 

 

 

fgv

 

 

"Meskipun FGV perlu mematuhi proses dan prosedur yang ketat, kami menjangkakan kemasukan lebih ramai pekerja bagi memastikan aktiviti perladangan dan penghasilan FGV kekal di landasan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan hasil Kumpulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Proses pengambilan pekerja ini dilaksanakan berdasarkan Garis Panduan dan Prosedur FGV yang telah disemak baru-baru ini untuk Pengambilan Bertanggungjawab dan Penggajian Pekerja Migran. Ini termasuk melarang ejen daripada mengenakan fi pengambilan pekerja.

 

Sebaik tiba di Malaysia, rekrut baharu ini akan menjalani program induksi dan orientasi selama empat hari di Pusat Sehenti (OSC) FGV di Gemencheh, Negeri Sembilan sebelum menjalani latihan di ladang FGV selama tiga bulan.

 

Rekrut baharu ini akan dilatih melakukan pelbagai jenis kerja lapangan seperti menuai, membaja, mencantas, memuatkan tandan buah ke dalam pengangkut, aktiviti semaian tanaman, dan penanaman benih. Mereka akan menerima gaji harian sepanjang program latihan pada kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

 

Semasa program orientasi, pekerja migran juga akan diperkenalkan dengan sistem dompet elektronik, e-dompet FGV yang memudahkan transaksi tanpa tunai untuk gaji dan penghantaran wang oleh pekerja migran. Usaha ini diperkenalkan pada tahun 2020 dalam menyokong inisiatif kerajaan ke arah transaksi tanpa tunai.

 

Sistem e-dompet juga mempunyai fungsi tambahan termasuk e-Kehadiran, e-Aduan, e-Pengumuman dan e-SOS. Selain itu, permohonan itu juga membolehkan pekerja asing membuat kiriman wang kepada keluarga di negara asal dan pekerja boleh menyalurkan sebarang aduan melalui aplikasi tersebut.

 

Mohd Nazrul menambah, FGV telah melaksanakan beberapa inisiatif sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan kami terhadap pekerja migran. 

 

"Ini termasuk dana untuk pembinaan perumahan dan kemudahan pekerja baharu. Dengan lebih ramai rekrut baharu yang akan tiba, kami telah memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta untuk kemudahan penginapan baharu," katanya.

 

Pada 2021, FGV telah memperuntukkan sebanyak RM43 juta bagi membaik pulih kemudahan perumahan dan menaik taraf peralatan bagi memastikan bekalan elektrik dan air pekerja migran ini tidak terganggu. - DagangNews.com