Pemulihan ringgit selepas pelantikan PM ke-10 dijangka kurangkan tekanan inflasi, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan ringgit selepas pelantikan PM ke-10 dijangka kurangkan tekanan inflasi, kata penganalisis

Harga makanan terus menjadi punca utama peningkatan kadar inflasi disebabkan harga komoditi yang masih tinggi. - Gambar : Aidil Maulana/Unsplash

KUALA LUMPUR 30 Nov - Pemulihan ringgit menjelang akhir November terutamanya berikutan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 mungkin akan memberi kesan positif terhadap tekanan inflasi sedia ada melalui inflasi import makanan yang sederhana.

 

Berdasarkan pemerhatian penganalisis TA Securities Research, Farid Burhanuddin, mata wang tempatan itu telah mengukuh untuk didagangkan di bawah paras RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 13 November lalu.

 

Ini didorong sentimen yang bertambah baik hasil daripada kemungkinan pendekatan yang kurang agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam mesyuaratnya, Disember ini.

 

"Selain itu, ringgit juga semakin mencatat prestasi yang baik selepas pelantikan Anwar. Ia ditutup di bawah RM4.50 berbanding dolar AS.

 

"Kami juga percaya trend penurunan yang sedikit dalam harga komoditi global dan kelembapan inflasi makanan serantau boleh mengurangkan tekanan inflasi Malaysia," katanya dalam nota kajian seperti dilapor FocusM hari ini. 

 

Oleh itu, TA Securities menjangkakan kadar inflasi utama meningkat pada kadar yang lebih sederhana pada suku keempat ini selepas ia memuncak sebanyak 4.5% tahun ke tahun pada suku ketiga.

 

Pada Oktober, inflasi utama Malaysia seperti yang diukur oleh indeks harga pengguna (IHP) menyederhana sebanyak 4% kepada 128.6 mata, sedikit di atas ramalan firma penyelidikan (3.8% tahun ke tahun) dan konsensus (3.9% tahun ke tahun).

 

Harga makanan terus menjadi punca utama peningkatan kadar inflasi disebabkan harga komoditi yang masih tinggi.

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, inflasi utama dijangka menyederhana dengan pelantikan kerajaan baharu meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ia kekal tinggi pada 2023 di tengah-tengah tekanan permintaan dan kos dengan risiko 'menurun ke atas'.

 

Penganalisisnya, Nazmi Idrus berkata, usaha membendung inflasi dijangka diteruskan selaras dengan ikrar yang diberikan untuk memberi keutamaan dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan IHP pada 3.1% bagi tahun ini manakala 3.2% pada 2023. Kami berpendapat, peningkatan berterusan dalam inflasi teras boleh menunjukkan pengetatan dasar monetari selanjutnya. 

 

"Kami menjangkakan dua kenaikan 25 mata asas, menjadikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3.25% pada akhir 2023," jelasnya. - DagangNews.com