Pemulihan harga minyak sawit Malaysia 'dikekang' dasar eksport Indonesia | DagangNews Skip to main content

Pemulihan harga minyak sawit Malaysia 'dikekang' dasar eksport Indonesia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Okt - Harga minyak sawit mentah dijangka kembali pulih apabila risiko bekalan dan prospek permintaan bertambah baik meskipun sebahagian besar dipengaruhi dasar eksport Indonesia yang memberi kesan kepada stok minyak sawit Malaysia dalam tempoh terdekat.

 

Penganalisis RHB Investment Bank, Hoe Lee Leng berkata, walaupun larangan eksport Indonesia telah ditarik balik, pasaran masih terganggu oleh tempoh bebas levi cukainya, memandangkan terdapat khabar angin kemungkinan ia dilanjutkan sehingga akhir tahun ini (dari akhir Oktober).

 

Katanya, sekiranya ia berlaku, langkah tersebut akan menyebabkan eksport Malaysia terjejas memandangkan Indonesia akan menghabiskan stok minyak sawitnya dengan harga diskaun.

 

"Memandangkan harga minyak sawit mentah memberikan lebih reaksi kepada perangkaan bulanan minyak sawit mentah di negara ini, ia pada pandangan kami akan menjejaskan harga, jika menjadi kenyataan. 

 

"Namun, kami menjangkakan paras stok minyak sawit akan kembali normal selepas akhir Oktober, apabila tempoh pengecualian cukai berakhir," katanya.

 

Langkah Indonesia merungkai sekatan eksportnya telah menjejaskan eksport Malaysia secara negatif kerana ia cuba menghabiskan lebihan stok dengan mengeluarkan lebih banyak permit eksport.

 

Ini dapat mengurangkan nisbah domestik berbanding eksport dan melaksanakan tempoh levi tanpa cukai dari Julai hingga Oktober.

 

Setakat akhir Ogos, inventori Indonesia sebanyak 4.04 juta tan, susut ke paras hampir normal iaitu tiga hingga empat juta tan.

 

Menurut Lee Leng, terdapat tiga risiko yang akan menjejaskan bekalan minyak sawit di Malaysia iaitu ketersediaan baja dari Rusia dan Belarus, kekurangan tenaga buruh di Malaysia dan fenomena La Nina yang dijangka berterusan sehingga suku pertama 2023, kemungkinan menjejaskan bekalan minyak sayuran di seluruh dunia.

 

Namun, katanya, permintaan kembali meningkat dari negara pengimport utama iaitu China, India, Pakistan dan Bangladesh daripada paras rendah Jun hingga Julai lalu.

 

"Kami menjangkakan harga minyak sawit akan kembali stabil dengan paras lebih tinggi pada separuh pertama 2023, sebaik sahaja kesan pengeluaran minyak sawit mentah yang terjejas akibat masalah buruh di Malaysia memberi kesan kepada paras stok menjelang akhir tahun ini. 

 

"Tetapi, harga komoditi ini akan kembali menurun pada separuh kedua 2022 apabila pengeluaran memuncak," jelasnya.

 

Oleh itu, RHB Investment menjangkakan harga minyak sawit mentah akan berlegar sekitar RM5,100 satu tan metrik bagi 2022.

 

Sementara itu, untuk 2023 dan 2024, harga komoditi itu dijangka lebih rendah dengan masing-masing pada RM3,900 dan RM3,500 satu tan metrik.

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dan IOI Corp. Bhd. - DagangNews.com