KUALA LUMPUR 24 Mei - Tiga pemimpin PKR telah dilantik untuk menerajui tiga agensi kerajaan baru-baru ini.
Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) telah melantik ahli parlimen Subang, Wong Chen sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu MDV berkuat kuasa 23 Mei 2023.
Chen dilantik bagi menggantikan Khairul Azwan Harun selepas tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Disember 2022.
MDV merupakan nak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Dengan pengalaman dan kepakaran Chen yang luas, MDV yakin boleh terus meningkatkan prestasi dalam membangunkan syarikat berasaskan teknologi serta syarikat pemula teknologi di Malaysia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Manakala Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin memegang jawatan Pengerusi Technology Depository Agency (TDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mei 2023.
“Semoga dengan pelantikan ini dapat memberi aspirasi kepada TDA dalam memacu pembangunan teknologi dan industri ke arah objektif dan sasaran negara selaras dengan mandat dasar-dasar perolehan yang ditetapkan,” kata agensi itu.
TDA merupakan agensi yang mengurus, mentadbir dan memantau semua pelaksanaan aktiviti Program Kolaborasi Industri (ICP) di Malaysia bagi memastikan ia mematuhi proses dan keperluan seperti ditetapkan dalam Rangka Kerja Pengurusan ICP Malaysia.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dilantik sebagai Pengerusi Tekun Nasional.
Tekun Nasional adalah agensi yang menyediakan kemudahan pembiayaan kepada perniagaan Bumiputera di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). -DagangNews.com








