KUALA LUMPUR 23 Mac - Pavilion Real Estate Investment Trust (REIT) telah mendapat persetujuan pemegang unit untuk membeli Pavilion Bukit Jalil Mall dengan harga RM2.2 bilion
Ketua pegawai eksekutif Pengurus Pavilion REIT, Datuk Philip Ho berkata pemegang unit percaya dengan strategi syarikat untuk mengembangkan Pavilion REIT dengan cara yang mampan, berdaya tahan dan mempelbagaikan asas pendapatannya.
"Pemerolehan ini juga merupakan bukti kepada kualiti aset dan kekuatan jenama Pavilion. Serta menunjukkan keyakinan pemegang unit Pavilion REIT terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang ekonomi Malaysia", katanya dalam satu kenyataan.
Menurut makluman syarikat itu kepada Bursa Malaysia semalam, persetujuan pemegang unit itu juga menyaksikan kelulusan dua tawaran penempatan persendirian untuk membiayai sebahagian daripada pengambilalihan itu.
Ini membabitkan RM 720 juta tranche pertama yang dijadualkan selesai pada suku kedua tahun ini dan tranche kedua bernilai RM 550 juta akan disiapkan selewat-lewatnya pada suku kedua 2025.
Harga terbitan unit baharu akan ditentukan kemudian menerusi proses penetapan harga manakala baki selebihnya akan dibiayai oleh pinjaman bank.
Menurut Pavilion REIT, penggearan akan meningkat daripada 33.8% pada 31 Disember 2022 kepada 36.8% selepas kedua-dua penempatan persendirian selesai.
Angka tersebut kekal di bawah had penggearan 50% seperti yang dibenarkan oleh garis panduan REIT tersenarai yang masih memberi peluang untuk Pavilion REIT meneroka pengambilalihan berpotensi, jelasnya.
Syarikat itu berkata selepas penempatan persendirian kedua-dua tranche, pemegang unit akan menyaksikan kecairan dalam pegangan unit utamanya, di mana ia akan meningkatkan kecairan dagangan dan memanfaatkan pelabur runcit.
Pengambilalihan yang telah diumumkan pada 22 November 2022 akan menyaksikan MTrustee Berhad, sebagai pemegang amanah Pavilion REIT, mengambil alih Pavilion Bukit Jalil Mall serta semua aset dan hak berkaitan daripada Regal Path Sdn Bhd, anak syarikat Malton Bhd.
Ia dijangka meningkatkan asas portfolio Pavilion REIT kepada RM 8.3 bilion daripada RM 6 bilion dan menyediakan peluang pertumbuhan masa hadapannya. -DagangNews.com








