Pemegang saham LSH Capital setuju cadangan kembangkan perniagaan dalam sektor pembangunan hartanah | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham LSH Capital setuju cadangan kembangkan perniagaan dalam sektor pembangunan hartanah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) telah mendapatkan kelulusan pemegang sahamnya telah meluluskan beberapa siri cadangan korporat termasuk memperkembangkan perniagaannya ke dalam aktiviti pembangunan hartanah.

 

Di samping itu, mereka turut memberi kelulusan untuk kumpulan tersebut untuk mengambil alih Astana Setia Sdn Bhd (Astana Setia) dan Lim Seong Hai Ventures Sdn Bhd (LSH Ventures), katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada 28 Mac tahun lalu, kumpulan tersebut telah membuat cadangan korporat melibatkan nilai pemerolehan gabungan sebanyak RM157.6 juta melalui pelaksanaan perjanjian jualan saham untuk memperoleh 100% dalam Astana Setia sebanyak RM95 juta.

 

Sementara itu, perjanjian pertukaran aset dan penyelesaian hutang merangkap perjanjian langganan saham dilakukan untuk LSH Ventures dengan nilai keseluruhan kira-kira RM62 juta, dipenuhi melalui terbitan saham LSH Capital baharu pada 45 sen, yang memberikan premium 7.14% hingga 9.20% berbanding harga pasaran penutup pada 25 Mac 2022 dan harga purata wajaran volum enam bulan.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, LSH Capital berkata selepas cadangan korporat selesai, ia akan mengembangkan lagi keupayaan pembinaannya dengan menyepadukan sepenuhnya teknologi digital untuk mengoptimumkan operasinya, meningkatkan rangkaian perkhidmatan  dan penyelesaiannya serta memberikan nilai luar biasa kepada pelanggannya.

 

“Melalui cadangan korporat, kumpulan akan dapat memanfaatkan kepakaran pembinaan Astana Setia untuk mewujudkan sinergi dengan peningkatan kecekapan, inovasi lebih baik, penyelesaian dipertingkatkan dan buku pesanan lebih besar, menghasilkan entiti lebih kukuh dan berkesan yang akan mendorong pertumbuhan dan keuntungan kumpulan untuk maju ke hadapan,” tambahnya.

 

Pengerusi Bukan Eksekutif, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata syarikat tersebut  akan terus melaksanakan strategi pertumbuhan dan mengejar peluang masa depan yang lain untuk meningkatkan lagi buku pesanan kerja pembinaan tertunggak miliknya berjumlah RM775 juta.

 

 

Tan Sri Lim Keng Cheng
Tan Sri Lim Keng Cheng

 

 

Menurut beliau, langkah tersebut adalah sebagai tambahan kepada penyediaan perkhidmatan dan penyelesaian berkaitan pembinaan di bawah Rangka Kerja Kerjasama BEST (BEST Collaboration Framework), di mana kumpulan itu berhak menerima bayaran berdasarkan nilai projek pembinaan dan hartanah pelanggan mereka sebanyak RM2.8 bilion.

 

“Cadangan korporat itu juga memberi peluang kepada kami untuk melaksanakan projek pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.6 bilion yang akan turut memanfaatkan bahagian lain,” tambahnya.

 

Setakat pukul 3:27 petang pada 28 Mac 2023, saham LSH Capital menokok 5 sen atau 7.7% kepada 70 sen, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM249.23 juta. -DagangNews.com