Pembukaan sempadan esok, bakal rancakkan pemulihan ekonomi - Usahawan | DagangNews Skip to main content

Pembukaan sempadan esok, bakal rancakkan pemulihan ekonomi - Usahawan

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 31 Mac – Pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 April termasuk laluan darat Malaysia-Singapura bakal merancakkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara terutama bagi negeri Johor.

 

Menyambut baik keputusan kerajaan, Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Usahawan Era Baru Malaysia, Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah berkata, pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura akan menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi Johor yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan sejak 2021.

 

“Sebagai usahawan, kami berharap dengan pembukaan sempadan secara menyeluruh dapat memberi input serta anjakan ekonomi terhadap keseluruhan aktiviti perniagaan kami di terutama di Johor," katanya kepada DagangNews.Com hari ini.

 

Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah
Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah

 

 

Beliau mengulas mengenai pengumuman yang dibuat oleh kerajaan Malaysia dan Singapura baru baru ini untuk membuka semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April.

 

Tengku Rosdi yang juga pengusaha butik Dang Anum di Angsana JB Mall berkata, para usahawan dan peniaga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong yang telah membuat keputusan yang bijak untuk kebaikan rakyat dan ekonomi kedua negara.

 

 

Nik Faridzuan Nik Jaafar
Nik Faridzuan Nik Jaafar

 

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Angsana JB Mall, Nik Faridzuan Nik Jaafar berkata, sektor ekonomi telah mengalami kerugian besar akibat sekatan di sempadan negara sejak dua tahun lalu. 

 

“Maka, tiada sebab untuk tidak membuka pintu sempadan kerana negara telah mencapai imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) serta pemberian dos penggalak yang semakin meluas,” jelasnya.

 

Katanya, perkara ini perlu diambil perhatian, kerana terdapat sektor ekonomi terpaksa gulung tikar akibat tidak mampu menampung kos operasi kerana aktiviti ekonomi yang lemah, terutama negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

 

 

Zairi Shahrudin
Zairi Shahrudin

 

 

Memuji usaha kerajaan untuk membuka semula sempada, Pengusaha butik  Butik Stevia Flora , Zairi Shahrudin berkata, peniaga di Johor Bahru amat bersyukur dengan tindakan kerajaan membuka sempadan negara.

 

Sudah tentu, katanya, langkah kerjasama kerajaan Malaysia dan Singapura membuka sempadan antarabangsa amat dialu-alukan golongan peniaga di Plaza Angsana.

 

“Kami tidak menafikan ekonomi peniaga negeri Johor secara langsung dan tidak langsung juga bergantung kepada kuasa membeli takyat singaapura. 

 

"Dengan kehadiran rakyat Singapura dapat membantu memulihkan dan meningkatkan ekonomi peniaga yang terjejas teruk selama dua tahun akibat COVID-19.

 

"Sebagai pengusaha, kami berharap atas dasar kerjasama antara kedua negara ini dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara terutama para peniaga di negeri Johor," ujarnya. – DagangNews.com