Pembinaan hab pembuatan baharu tingkatkan kecekapan kos Farm Fresh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembinaan hab pembuatan baharu tingkatkan kecekapan kos Farm Fresh

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Julai - Cadangan pembelian tanah perindustrian di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan membolehkan Farm Fresh Bhd. berada dalam landasan yang tepat untuk membina hab pembuatan baharu di Lembah Klang. 

 

CGS-CIMB Research berkata, harga pembelian pada RM18.24 juta adalah menarik kerana ia lebih rendah daripada kos pengambilalihan tanah yang diperuntukkan ketika tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM30 juta.  

 

Selain itu, katanya, syarikat tenusu itu turut memperuntukkan sebanyak RM15 juta daripada hasil IPO untuk membina hab pembuatan baharu di atas tanah tersebut.

 

"Kami percaya kedudukan tanah yang strategik ini (15 minit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan 30 hingga 35 minit ke Lembah Klang), dapat membantu Farm Fresh meningkatkan kecekapan kos dengan mengoptimumkan kos logistik kerana hab pembuatan baharu ini dapat membawa kumpulan lebih dekat dengan pelanggan di Lembah Klang. 

 

"Kemudahan pemprosesannya ketika ini terletak di Muadzam Shah, Pahang dan Larkin, Johor," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Farm Fresh berkata, pengambilalihan tanah daripada THP Enstek Development Sdn Bhd itu dijangka siap dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, dan akan dibiayai sepenuhnya daripada hasil IPO.

 


Baca : Farm Fresh mahu beli tanah di Negeri Sembilan berharga RM18.24 juta, jadikan hab pembuatan baharu

 

CGS-CIMB juga percaya membina hab perkilangan di atas tanah ini mempunyai kelebihannya, kerana tanah itu telah diberikan status Halal Malaysia oleh Halal Industry Development Corporation. 

 

"Ini membolehkan Farm Fresh memohon insentif halal daripada pengeluar industri halal, termasuk pengecualian cukai pendapatan untuk tahun-tahun tertentu dan pengecualian duti import ke atas bahan mentah," jelasnya.

 

Selain itu, semakan yang dijalankannya turut mendapati kawasan tersebut juga menempatkan beberapa jenama terkemuka global antaranya Coca-Cola, Kellogg’s, Ajinomoto (Malaysia) Bhd dan Dutch Lady Milk Industries Bhd.

 

Susulan pengumuman itu yang dilihat sebagai perkembangan positif kepada kumpulan, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) hingga FY25. 

 

Ia turut mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Farm Fresh dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.83 sesaham.

 

"Kami menyukai Farm Fresh kerana ia dilihat sebagai proksi untuk permintaan yang semakin meningkat untuk barangan berasaskan susu segar di Asia, disokong oleh profil pertumbuhan yang kukuh (FY22-FY25 EPS CAGR sebanyak 22.6%).

 

Setakat 10.40 pagi ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 1.23% kepada RM1.60 dengan 280,900 saham diniagakan. - DagangNews.com