Pemberian baucar perjalanan beri impak kepada kewangan AirAsia X pada suku keempat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemberian baucar perjalanan beri impak kepada kewangan AirAsia X pada suku keempat

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pendapatan AirAsia X susut 5% suku ke suku kepada RM107 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM113 juta yang direkodkan bagi suku sebelumnya. 

 

Syarikat penerbangan bersekutu AirAsia Aviation Group bagi jarak jauh itu turut merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM652 juta bagi tempoh berkenaan. 

 

Bagaimanapun, dari segi pendapatan, AirAsia X kembali kepada mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah RM300,000, tetapi terkesan dengan peruntukan sekali sahaja untuk baucar perjalanan yang diedarkan kepada penumpang dan ejen pelancongan yang terjejas oleh penstrukturan semula hutang.

 

Bagi suku berakhir 30 Jun 2022, syarikat memberi peruntukan sekali sahaja berjumlah RM653 juta terutamanya untuk pengeluaran baucar perjalanan berhubung dengan komitmen yang AirAsia X miliki untuk penumpang dan ejen pelancongannya yang terjejas.

 

Secara dasarnya, kumpulan terikat dengan syarat skim penstrukturan semula berkaitan hutang dan liabilitinya. Oleh itu, ia dilarang secara sah daripada memberikan sebarang bayaran balik tunai kepada penumpang dan ejen pelancongan.

 

Untuk memastikan penumpang yang terjejas dapat terbang dengan syarikat penerbangan itu semula, dan sebagai tanda muhibah, AirAsia X memilih untuk menawarkan keistimewaan penerbangan promosi dalam bentuk baucar perjalanan kepada penumpang, sehingga jumlah penuh berikutan tempahan penerbangan yang dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19.

 

Apabila selesai penstrukturan semula hutangnya, secara rasmi pada 16 Mac 2022 melalui penyerahan sekatan mahkamah, kumpulan kini berada di landasan yang stabil untuk meningkatkan operasi penerbangan penumpang berjadual dengan ketara untuk memenuhi permintaan terpendam yang kukuh.

 

 

Benyamin Ismail
Benyamin Ismail

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, selepas berdepan tempoh paling mencabar dalam industri penerbangan sejak dua tahun lalu, AirAsia X kembali bangkit dengan lebih kuat.

 

Katanya, syarikat penerbangan itu akan menyambung semula perkhidmatan ke destinasi jarak sederhana dalam beberapa bulan akan datang dan jarak jauh ke beberapa destinasi baharu bagi memenuhi permintaan terpendam yang kukuh.

 

"Kami juga optimis dengan kerjasama Capital A Group untuk memanfaatkan pelbagai sumber bagi melaksanakan strategi peningkatan operasi yang mantap.

 

"Selepas penstrukturan semula, bagi meningkatkan operasi syarikat penerbangan, AirAsia X telah mengumumkan pada 18 Ogos lalu bahawa ia berhasrat untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham berkenaan kerjasama melalui Cadangan Mandat Pemegang Saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Tony Fernandes
Tony Fernandes

 

 

Mengenai kerjasama dengan Capital A, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Tony Fernandes berkata, syarikat kini bersandarkan kepada infrastruktur hasil daripada penstrukturan semula hutang dengan asas kos operasi yang paling rendah daripada mana-mana syarikat penerbangan dalam kategorinya.

 

Bagaimanapun, katanya, memandangkan sekatan perjalanan masih dilaksanakan di beberapa negara tertentu, pelaburan dalam infrastruktur dan kakitangan untuk menyokong peningkatan operasi syarikat penerbangan akan mengakibatkan beberapa kos dan masa tambahan untuk jangka pendek.

 

"Kami berhasrat untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham pada EGM akan datang bagi tujuan memeterai perjanjian dengan Capital A untuk meningkatkan operasi syarikat dengan lancar.

 

"Ini membolehkan kami memanfaatkan keupayaan dalam Capital A dari segi keperluan komersial, operasi penerbangan kargo dan keperluan penyelenggaraan teknikal di samping memastikan kos AirAsia X berada pada tahap paling rendah semasa tempoh penyambungan semula yang sangat penting ini untuk syarikat penerbangan," jelasnya.

 

Beliau menjangkakan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan dan kembali ke perkhidmatan harian ke kebanyakan destinasi sebelum 2023, dengan penggunaan pesawat yang dioptimumkan selama 15 jam menjelang Disember.

 

Dalam beberapa bulan akan datang katanya, AirAsia X kembali mengaktifkan semula lebih banyak pesawat ke destinasi popular seperti Australia, Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi. 

 

"Tidak lama lagi, kami juga akan melancarkan perkhidmatan jarak dekat baharu ke Bali buat kali pertama dan destinasi jarak jauh baharu yang lebih menarik ke Istanbul, Dubai dan London, yang akan mula beroperasi menjelang akhir tahun ini," katanya. - DagangNews.com