KUALA LUMPUR 11 April - Bilangan golongan milenial yang membeli hartanah kediaman jauh lebih tinggi berbanding setahun lalu dan akan meningkat lebih tinggi lagi menjelang 2024, menurut Juwai IQI.
Daripada tinjauan yang dijalankan pada Mac dengan ejen hartanah Malaysia, Ketua Segmen Bumiputera IQI (anak syarikat Juwai IQI), Muhazrol Muhamad berkata 80% ejen berpendapat bilangan pembeli milenial adalah lebih tinggi daripada tahun 2022, membentuk daripada 40 hingga 60% daripada semua pembeli, bergantung pada subpasaran.
Golongan milenial, juga dikenali sebagai Gen Y, terdiri daripada individu berumur 27 hingga 41 tahun dan meliputi 50% daripada populasi umur bekerja di negara ini, menyumbang kepada jualan segmen pasaran pertengahan dan pertengahan atas, dengan lebih tiga persuku membelanjakan lebih daripada RM500,000.
Selain itu, pembeli milenial Bumiputera cenderung ke arah julat harga yang lebih rendah sedikit berbanding kumpulan lain, di mana 40% membelanjakan antara RM300,000 dan RM500,000 berbanding 26% dari kumpulan milenial lain.

Bagi perbelanjaan lebih RM700,000 pula, 39% daripada kumpulan milenial lain lebih cenderung berbanding 27% Bumiputera.
Menurut Muhazrol, 33% milenial lebih suka kondominium, diikuti rumah bertanah (30%), pangsapuri servis (26%) dan hanya sejumlah 11% membeli hartanah komersial disebabkan ia memerlukan pelaburan besar dan pemahaman pasaran.
Sementara itu, program pembelian rumah pertama paling popular ialah Skim Rumah Pertamaku, diikuti Rumah PR1MA, Skim Rumah Pertamaku BNM dan Kempen Pemilikan Rumah.
“Membeli rumah tidak selalunya mudah dan halangan terbesar yang menghalang milenial daripada memiliki rumah sendiri ialah wang untuk bayaran pendahuluan, turut menjelaskan mengapa program Skim Rumah Pertamaku paling popular memandangkan pembeli boleh membiayai 110% daripada nilai hartanah,” kata Muhazrol.

Berapa faktor akan mempengaruhi milenial dalam keputusan pembelian rumah baharu iaitu lokasi pusat dan akses pengangkutan paling utama, diikuti keselamatan, lokasi di pinggir atau perbandaran; kolam renang; taman serta kawasan luar di dalam bangunan mereka.
“Pembeli bumiputera juga menggemari beberapa sifat yang kurang relevan kepada pembeli daripada kumpulan demografi lain iaitu 71% lebih suka berurusan dengan ejen hartanah Bumiputera.
Selain itu, dua pertiga daripada mereka mencari kawasan tumpuan penduduk Bumiputera dan 59% mencari lokasi berhampiran kampung halaman atau tanah nenek moyang,” jelasnya. -DagangNews.com








