Pelupusan tanah di Kalimantan bantu TSH Resources selesaikan pelbagai isu termasuk hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelupusan tanah di Kalimantan bantu TSH Resources selesaikan pelbagai isu termasuk hutang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - Kenanga Research menjangkakan cadangan TSH Resources Berhad melupuskan tanah kelapa sawit yang tidak dibangunkan di Kalimantan, Indonesia akan membantu kumpulan itu menangani beberapa isu termasuk hutang.

 

Firma itu berkata, langkah itu akan membantu kumpulan itu dalam mengurangkan hutang serta perbelanjaan selain mempercepatkan pembangunan tanah simpanannya di negara itu.

 

"Pelupusan itu tidak akan memberi sumbangan kepada kumpulan sebaliknya membantu mengurangkan hutang, membiayai penanam kelapa baharu dan pelaksanaan keseluruhan perancangan itu akan meningkatkan pendapatan sesahan (EPS) mereka.

 

"Pada FY21 sumbangan keuntungan daripada tanah Kalimantan itu hanya RM10 juta walaupun harga komoditi mencatatkan peningkatan ketara.

 

"Hal itu terjadi kerana sejumlah 3,819 hektar tanah daripada 13,989 keseluruhan di tanam dengan kelapa sawit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, TSH merancang untuk membayar RM550 juta daripada pendapatan keseluruhan RM720 juta menerusi cadangan itu dan ia akan membantu menjimatkan RM19 juta setahun untuk pembayaran faedah perbelanjaan.

 

TSH mula mengumumkan perjanjian berkenaan pada 12 Disember 2021 dan kemudian pada 4 April 2022 menerusi pengumuman perjanjian penjualan, pembelian dan pampasan bersyarat untuk melepaskan 13,898 hektar dengan wang tunai RM712 juta.

 

Kumpulan itu juga sudah mengeluarkan pekeliling untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi mendapatkan kelulusan mengenai cadangan itu.

 

"Kami menjangkakan sebahagian kecil sahaja akan menentang cadangan itu semasa EGM.

 

"Bagaimanapun, TSH perlu menukar status tanah berkenaan sebelum dijual dan perkara itu dijangka siap sepnuhnya pada awal FY23 dengan mereka akan berdepan risiko kelewatan atau kegagalan penjualan," katan firma itu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM1.90. - DagangNews.com