Pelawat susut selepas tanah runtuh Batang Kali, Genting Malaysia dijangka terjejas pada 1QFY23 – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelawat susut selepas tanah runtuh Batang Kali, Genting Malaysia dijangka terjejas pada 1QFY23 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Kebimbangan berterusan terhadap tanah runtuh Batang Kali mungkin menjejaskan Genting Malaysia Berhad pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Bagaimanapun, kata firma penyelidikan itu, pemulihan dipercepatkan dari Mac 2023 dan seterusnya memandangkan hampir semua 10,500 bilik di Resorts World Genting (RWG) kini tersedia.

 

Pendapatan kumpulan pada tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing dikurangkan sebanyak 16%, 3% dan 4%, kata firma itu dalam nota hari ini.

 

Mengulas lanjut mengenai impak tanah runtuh, firma tersebut menjelaskan bahawa jumlah kedatangan pelawat di RWG dalam suku keempat 2022 menyusut 10% suku ke suku (QoQ) kepada 5.3 juta susulan tragedi tanah runtuh Batang Kali pada 16 Disember 2022 yang telah menyebabkan 31 kematian.

 

“Kami difahamkan bahawa cuaca hujan pada Januari dan Februari 2023 tidak menggalakkan orang ramai melawat RWG terutamanya semasa musim kemuncak Tahun Baharu Cina kerana bimbang akan berlaku lagi tanah runtuh.

 

Oleh itu, keuntungan bersih teras 1QFY23 mungkin bukan QoQ yang lebih baik, di mana suku keempat 2023 telah mencatatkan untung bersih RM121.9 juta,” tambahnya.

 

Firma itu mengurangkan ketibaan pelawat RWG pada FY23 sebanyak 500,000 kepada 23.7 juta dan mengurangkan keuntungan bersih teras FY23 sebanyak 16%.

 

Sementara itu, pemulihan telah dipercepatkan dalam tempoh dua bulan yang lalu dan firma itu berkata jumlah pelawat RWG meningkat dari Mac 2023 dan seterusnya apabila cuaca menjadi lebih kering dan kesemua 10,500 bilik kini tersedia disebabkan kerja penyelenggaraan bilik yang mencukupi.

 

Menurut firma tersebut, penyelenggaraan bilik amat penting memandangkan pelawat yang bermalam berbelanja lebih banyak daripada mereka yang bersiar-siar.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM2.96 sesaham. -DagangNews.com