Pelaksanaan ReDI di Pulau Pangkor beri momentum agenda digitalisasi sektor peruncitan | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan ReDI di Pulau Pangkor beri momentum agenda digitalisasi sektor peruncitan

PULAU PANGKOR 19 Mac - Pelaksanaan Inisiatif Digital Peruncitan atau Retail Digitalisation Inisiative (ReDI) di Pulau Pangkor membantu memberikan momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan.

 

Menteri Perdagagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program itu kerjasama kerajaan negeri, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan semua pihak berkaitan dapat merealisasikan Pulau Pangkor sebagai pelopor digitalisasi ReDI di negara ini selain sebagai pulau bebas cukai.

 

Katanya, ReDI menggalakkan pemain industri sektor peruncitan sentiasa seiring dengan perkembangan digitalisasi, terutama teknologi transaksi pembayaran secara digital dan memastikan ia dilaksanakan dalam keadaan selamat dari segi kesihatan dan proses keewangan.

 

"Kementerian menyasarkan 15,000 peniaga di seluruh negara ini menerima manfaat dan turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna. Sehingga 15 Mac tahun ini seramai 3,347 peniaga mengadaptasi program ReDI.

 

"Kementerian berharap kolaborasi strategik bersama dengan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta setiap Kementerian Perdagagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri turut menyasarkan 100 peniaga bagi setiap PBT menyertai program ReDI menjelang akhir 2025 ," katanya. 

 

Negara-negara di rantau Asia Tenggara kini sedang berada pada puncak fasa revolusi kewangan di mana kira-kira 49% daripada penduduk bandar telah menggunakan perkhidmatan e-dompet dan jumlah ini diunjur mencecah 84% menjelang 2025. 

 

Di Malaysia, penggunaan e-wallet telah meningkat sebanyak 131% kepada melebihi 600 juta transaksi pada tahun 2020, berbanding tahun sebelumnya.

 

KPNHEP juga sudah menggerakkan usaha dalam memastikan agenda digitalisasi menjadi objektif utama sektor peruncitan dengan tumpuan diberikan kepada peniaga di peringkat mikro dan kecil agar dapat menggunakan perkhidmatan e-dompet bagi menggalakkan transaksi tanpa tunai.

 

nanta

 

Sementara itu, Alexander berkata, bersempena pelancaran ReDI itu,  ShopeePay menyumbangkan sebanyak 100 peralatan perniagaan kepada peniaga kecil yang bersesuaian di sekitar Pangkor ini bagi melindungi daripada cuaca hujan dan panas. 

 

"Kementerian menerusi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) akan melaksanakan Program Insentif Norma Baharu 2022 melibatkan sumbangan RM10,000 dengan 500 pengguna boleh menebus RM20 menerusi e-dompet terpilih.

 

"Program itu dijangka merancakkan lagi program digitalisasi kepada peniaga di Perak ini dan ia diharap membantu melonjakkan lagi penggunaan e-dompet selain membantu peniaga kembali meneruskan perniagaan seperti biasa," katanya. - DagangNews.com