KUALA LUMPUR 4 April - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkakan pelaburan besar dari China mampu rangsang sektor pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi digital.
PublicInvest berkata, sektor-sektor itu berpotensi memberi manfaat kepada pertumbuhan pelbagai industri.
Tambahnya, biarpun butiran mengenai pelaburan berjumlah RM170 bilion itu masih belum jelas, ia dijangka membawa limpahan kepada industri hartanah, pembinaan dan elektrik dan elektronik.
"Kami menjangkakan potensi aliran masuk modal dari China yang akan memanfaatkan sektor pembuatan, diikuti ekonomi digital yang memberi limpahan kepada pertumbuhan industri hartanah bukan kediaman, bangunan perindustrian, pusat data serta perdagangan khas seperti kerja tanah dan aktiviti pembinaan," katanya dalam satu nota kajian.
Mengulas lanjut, PublicInvest berkata, nilai kerja-kerja yang dilaksanakan merekodkan pertumbuhan 8.8 peratus tahun ke tahun daripada paras negatif dalam tempoh dua tahun lalu, dirangsang penambahbaikan merentasi semua aktiviti segmen pembinaan.
Menurutnya, pemulihan paling kukuh dalam segmen hartanah bukan kediaman dan perdagangan khas yang masing-masing melonjak 18.7% dan 19.6 % tahun ke tahun.
"Jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih tertinggi direkodkan pada tahun lalu iaitu
RM273.1 bilion, membentuk peningkatan 12.9% berbanding tahun sebelumnya," katanya.
PublicInvest berkata, secara keseluruhan perkembangan itu adalah sesuatu yang positif, walaupun aliran masuk FDI berpotensi itu dipercayai tidak akan memperlihatkan kesan serta-merta kepada aktiviti sektor berkaitan.
Mengulas lanjut, tambah firma itu, mereka menjangkakan aktiviti akan meningkat pada separuh kedua tahun ini dan seterusnya sebagai tambahan kepada pelancaran MRT3 ditambah dengan langkah mempercepatkan projek infrastruktur awam di Malaysia Timur.
"Selain itu, kami juga melihat pertumbuhan ketara dalam kerja-kerja kejuruteraan awam pada 2017 hingga 2019, yang masing-masing meningkat 17.9%, 18.6% dan 8.3% dengan kami berpendapat sebahagian besarnya dikaitkan dengan FDI China.
"Firma itu berkata, ini kerana pelaburan tertumpu terutamanya pada projek infrastruktur pengangkutan selaras dengan objektif Inisiatif Beat & Road (BRI) untuk meningkatkan perdagangan serantau melalui ketersambungan rantaian bekalan. - DagangNews.com








