Pelabur Jerman di Malaysia bimbang ketidakstabilan geopolitik, bersedia untuk kejutan luaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur Jerman di Malaysia bimbang ketidakstabilan geopolitik, bersedia untuk kejutan luaran

Gambar Dewan Perdagangan dan Perindustrian Malaysia-Jerman (MGCC).

KUALA LUMPUR 5 Jun - Permintaan perlahan, kekurangan pekerja mahir, dan kadar pertukaran yang lemah adalah tiga kebimbangan utama syarikat-syarikat Jerman di Malaysia, menurut kajian terkini Dewan Perniagaan Jerman di Luar Negara (AHK) World Business Outlook.

 

Kebimbangan lain bagi syarikat-syarikat Jerman di Malaysia termasuk landskap geopolitik yang tidak stabil dengan responden menyebut konflik China-Taiwan sebagai kebimbangan dan perang Rusia-Ukraine yang menyumbang kepada sentimen negatif dalam kalangan pelabur.

 

Kajian AHK World Business Outlook Spring 2024, satu kajian setengah tahun yang merakam pandangan syarikat-syarikat Jerman yang aktif secara global termasuk di Malaysia telah dijalankan dari 25 Mac hingga 21 April 2024.

 

Menurut laporan itu, 49% syarikat Jerman di Malaysia berkata, mereka telah bersedia dengan ketidatentuan ini dan 61% berkata mereka telah melaksanakan atau dalam proses melaksanakan pelan pembesaran rangkaian pembekal.

 

Namun, syarikat-syarikat Jerman berkata, tiga halangan utama dalam meneroka pelbagai rantaian bekalan mereka adalah mencari pembekal dan rakan kongsi perniagaan yang sesuai (62%), kos perniagaan yang tinggi (36%), dan mengenal pasti pasaran jualan yang sesuai (34%).

 

Apabila ditanya tentang prospek ekonomi, 54% mengharapkan ekonomi Malaysia akan kekal sama untuk tempoh 12 bulan seterusnya manakala 29% mengharapkan keadaan akan menjadi lebih baik.

 

Untuk kali pertama, kajian tersebut menampilkan satu segmen tentang perubahan iklim dan kelestarian untuk mengukur kepentingannya di Malaysia.

 

germany

 

Walaupun alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) adalah trend penting bagi perniagaan, 64% syarikat Jerman di Malaysia berkata isu ini agak penting tetapi kurangnya perbincangan awam tentang perubahan iklim dan langkah-langkah untuk meredakannya masih menjadi kebimbangan.

 

Sering disebut sebagai kunci kepada tenaga bersih, kajian itu mendapati bahawa 49% syarikat melihat teknologi hidrogen sebagai topik yang agak penting dengan potensi peluang.

 

Syarikat-syarikat Jerman di Malaysia juga menunjukkan Malaysia sangat bergantung kepada bahan api fosil, bagaimanapun, 48% berkata terdapat kesedaran tentang keperluan untuk berpindah kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui walaupun kerangka kerja yang diperlukan masih kurang dan hanya 14% responden berkata Malaysia mempunyai strategi yang wibawa untuk transisi tenaga boleh diperbaharui.

 

Memetik laporan, separuh syarikat yang disoal berkata, strategi transisi tenaga akan memberi impak langsung kepada syarikat mereka.

 

Selain itu, syarikat-syarikat Jerman di Malaysia juga melihat peluang perniagaan di Malaysia dalam bidang kecekapan tenaga industri, penghasilan tenaga boleh diperbaharui dan bangunan yang cekap tenaga.

 

jan
JAN NOETHER. -Gambar X AHK Malaysia

 

"Dari permintaan yang menurun kepada kebimbangan tentang ketegangan geopolitik, penemuan ini konsisten di seluruh rantau dan juga mencerminkan sentimen global kerana perniagaan merasakan kesan risiko ekonomi," kata Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Perindustrian Malaysia-Jerman (MGCC), Jan Noether.

 

"Perkara yang positif adalah pelabur Jerman di Malaysia telah bersedia untuk melindungi diri daripada kesan ini dan keyakinan untuk menjalankan perniagaan di sini adalah tinggi.

 

"Pengumuman pelaburan asing baru-baru ini menunjukkan kesan ekonomi positif dan ekonomi Malaysia juga berkembang lebih cepat daripada yang dijangkakan pada suku pertama tahun 2024.

 

"Diberikan kepentingan perlindungan alam sekitar, penemuan kami secara keseluruhan mengenai kelestarian menunjukkan bahawa kesedaran tentang isu tersebut ada tetapi penjelasan lanjut dalam dasar diperlukan untuk Malaysia mencapai sifar karbon menjelang tahun 2050."

 

Di Malaysia, kajian itu dilengkapkan oleh rangkaian syarikat MGCC, yang terdiri daripada kebanyakan syarikat kecil dan sederhana Jerman dan tempatan, terutamanya dari industri pembuatan dan pembinaan, serta sektor perdagangan dan perkhidmatan.

 

Outlook Perniagaan Dunia AHK, satu kajian penyelidikan setengah tahunan yang dijalankan oleh Persekutuan Perdagangan dan Perindustrian Jerman, adalah berdasarkan kajian syarikat ahli Persekutuan Perdagangan Jerman di Luar Negara, Delegasi dan Pejabat Perwakilan (AHKs) di kalangan lebih daripada 40,000 syarikat- DagangNews.com