KUALA LUMPUR 17 Okt - Bursa Malaysia terus menyaksikan aliran keluar asing buat minggu keenam berturut-turut sebanyak RM479.7 juta yang direkodkan bagi minggu berakhir 14 Oktober 2022.
MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan mendapati, jualan ekuiti itu adalah lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya, sebanyak RM336.9 juta.
Apabila pasaran dibuka Selasa setelah cuti umum sambutan Maulidur Rasul pada Isnin, pelabur asing merekodkan jualan ekuiti sebanyak RM140.3 juta.
Ini diikuti dengan jualan ekuiti sepanjang minggu dengan paling tinggi dicatatkan pada Khamis sebanyak RM153.7 juta.
Sebaliknya, firma itu berkata, pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih ekuiti pada minggu lalu berjumlah RM368.4 juta.
"Mereka memulakan dagangan dengan membeli RM81.2 juta pada Selasa diikuti RM44.2 juta (Rabu) sebelum meningkat kepada RM131.5 juta pada Khamis dan RM111.5 juta pada Jumaat," katanya dalam laporan itu hari ini.
Pelabur runcit pula membeli ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM111.3 juta setelah memulakan dagangan pada Selasa dengan RM59.1 juta.
"Bagaimanapun, mereka mengakhiri dagangan minggu lalu dengan menjual RM12.2 juta ekuiti tempatan," tambahnya.
Setakat ini, menurut MIDF Research, pelabur antarabangsa telah membeli ekuiti berjumlah RM5.81 bilion bagi tempoh selama 24 daripada 41 minggu manakala pelabur institusi tempatan menjual RM8.11 bilion ekuiti selama 29 minggu.
Sementara itu, pelabur runcit merekodkan pembelian ekuiti sebanyak RM2.3 bilion bagi tempoh selama 27 minggu.
Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur asing sebanyak 0.34%.
Ini diikuti dengan peningkatan 16.6% bagi pelabur institusi tempatan dan 16.3% bagi pelabur runcit. - DagangNews.com








