KUALA LUMPUR 19 Dis - Bursa Malaysia terus mencatat aliran keluar asing buat minggu kelima berturut-turut sebanyak RM258.6 juta, lebih rendah berbanding minggu sebelumnya, RM731.8 juta.
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati pelabur asing menjual ekuiti setiap hari bagi minggu berakhir 16 Disember dengan aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM179 juta.
Pelabur asing hanya membeli ekuiti pada Rabu minggu lalu berjumlah RM21.4 juta manakala aliran keluar paling rendah direkodkan pada Isnin, Selasa dan Jumaat masing-masing sebanyak RM52.2 juta, RM36.2 juta dan RM12.6 juta.
"Sektor perkhidmatan kewangan merekodkan aliran keluar paling tinggi sebanyak RM125.7 juta diikuti perladangan (RM108.2 juta) dan penjagaan kesihatan (RM78.6 juta).
"Sebaliknya, sektor telekomunikasi dan media mencatat aliran masuk asing paling tinggi sebanyak RM38.5 juta diikuti pembinaan (RM35.2 juta) dan perkhidmatan dan produk pengguna (RM32 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan meneruskan pembelian bersih ekuiti bagi minggu ketiga berturut-turut berikutan persekitaran politik yang lebih stabil, telah merangsang sentimen pelabur.
Namun, pembelian ekuiti sebanyak RM223.14 juta ekuiti pada minggu lalu, adalah lebih rendah berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM680.4 juta.
Pada minggu lalu, pelabur institusi tempatan lebih banyak membeli ekuiti pada Khamis sebanyak RM134.81 juta.
Pelabur runcit pula meneruskan pembelian ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM35.6 juta, lebih rendah berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM51.4 juta dengan aliran masuk paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM44.2 juta.
Menurut MIDF Research, pelabur asing merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM4.54 bilion selama 27 daripada 50 minggu setakat tahun ini manakala pelabur institusi tempatan menjual RM6.66 bilion ekuiti selama 32 minggu.
Bagi pelabur runcit pula, mereka telah membeli ekuiti selama 32 minggu dengan setakat ini berjumlah RM2.13 bilion.
Dari segi pergerakan pelabur, terdapat penurunan nilai purata dagangan harian direkodkan bagi pelabur asing sebanyak -9.02% diikuti pelabur institusi tempatan (12.55%) dan runcit (-12.29%).
Pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI mengukuh 0.09% sebelum mengakhiri dagangan Jumaat pada 1,478.54 mata, sebaliknya ringgit susut 0.45% kepada RM4.4242 berbanding dolar AS. - DagangNews.com








