KUALA LUMPUR 3 April – Pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan sebanyak RM11.5 juta pada minggu lalu setelah menjual bersih selama empat minggu berturut-turut.
Menurut MIDF Research, minggu lalu bermula lemah, di mana aliran keluar pelabur asing sebanyak RM80.1 juta pada Isnin, namun sentimen bertambah baik bermula Selasa dan seterusnya, selepas data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penyusutan indeks harga pengeluar (PPI) sebanyak 0.8% tahun ke tahun (YoY) pada Februari 2023 berbanding pertumbuhan 1.3% YoY dalam Januari 2023.
“Penguncupan itu disebabkan kesan asas dan harga komoditi utama yang rendah. Selain itu, kebimbangan berpunca daripada kegawatan bank di Amerika Syarikat dan Eropah nampaknya telah berkurangan, menyebabkan sentimen lebih baik,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.
Aliran masuk pelaburan asing tertinggi dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM59.6 juta, manakala belian bersih terendah adalah pada Selasa pada RM1 juta.
Setakat ini, warga asing telah menjual bersih ekuiti bernilai RM1.87 bilion.
“Tiga sektor yang menyaksikan aliran masuk asing paling tinggi pada minggu lepas adalah perkhidmatan kewangan sebanyak RM51.5 juta diikuti teknologi (RM22.6 juta) dan penjagaan kesihatan (RM16.8 juta).
Tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih asing terdiri daripada utiliti berjumlah RM54.3 juta diikuti amanah pelaburan hartanah (REIT) (RM15.6 juta) dan tenaga (RM13.3 juta),” katanya.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan menjadi penjual bersih minggu lepas sebanyak RM3.9 juta, di mana ia adalah minggu dagangan bercampur aliran masuk dilihat pada Isnin (RM39.2 juta) dan Rabu (RM29.6 juta), manakala aliran keluar pada baki minggu tersebut dengan jumlah tertinggi pada Jumaat berjumlah RM37.3 juta.
Setakat ini, institusi tempatan telah membeli bersih ekuiti bernilai RM1.77 bilion.
Pelabur runcit turut menjadi penjual bersih minggu lalu selepas menjual bersih ekuiti RM7.6 juta. Minggu bermula kukuh dengan aliran masuk pada Isnin berjumlah RM41 juta dan Selasa (RM12.8 juta), manakala baki minggu itu menyaksikan aliran keluar pada Rabu sebanyak RM34.6 juta.
Pelabur runcit telah menjadi pembeli bersih setakat ini pada RM91.9 juta.
Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit, pelabur institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing menyusut sebanyak 12.5%, 13.9% dan 12.3%. -DagangNews.com








