KUALA LUMPUR 3 Jan - Bursa Malaysia kembali mencatat aliran keluar bersih asing bagi minggu dagangan terakhir 2022 sebanyak RM204.6 juta berbanding pembelian ekuiti sebanyak RM51.2 juta pada minggu sebelumnya.
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati dalam mingguan dagangan pendek sempena cuti Krismas pada Isnin, pelabur asing memulakan dagangan dengan membeli ekuiti tempatan pada Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM10.1 juta dan RM99.2 juta.
Bagaimanapun, pembelian bersih itu tidak cukup untuk mengimbangi pengambilan untung pada Khamis sebanyak RM9.8 juta dan Jumaat, RM304.1 juta.
"Sektor perladangan mencatatkan paling banyak aliran keluar asing sebanyak RM64.7 juta diikuti sektor perkhidmatan dan produk perindustrian (RM57.1 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM46 juta).
"Sementara itu, sektor penjagaan kesihatan mencatatkan aliran masuk asing paling tinggi sebanyak RM16.5 juta diikuti teknologi (RM12.3 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM7.2 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini.
Pada minggu berakhir 30 Disember 2022, pelabur institusi tempatan sebaliknya membeli ekuiti tempatan sebanyak RM290.4 juta, berbanding jualan ekuiti sebanyak RM52.1 juta pada minggu sebelumnya.
Jualan ekuiti pelabur institusi tempatan direkodkan pada Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM44.6 juta dan RM149 juta dengan mencatat aliran masuk paling tinggi pada Jumaat berjumlah RM442.4 juta.
Pelabur runcit pula menjual ekuiti sebanyak RM85.8 juta pada minggu lalu setelah merekodkan pembelian ekuiti selama tiga minggu berturut-turut.
Menurut MIDF Research, pelabur asing mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak RM4.38 bilion selama 27 minggu daripada 52 minggu dagangan bagi tahun ini manakala pelabur institusi tempatan menyaksikan penjualan ekuiti sebanyak RM6.42 bilion bagi tempoh selama 33 minggu.
"Setakat akhir tahun ini, pelabur runcit mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM2.04 bilion bagi tempoh 33 daripada 52 minggu dagangan," katanya.
Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur runcit, institusi tempatan dan asing masing-masing merekodkan pertumbuhan sebanyak 10%, 32.6% dan 18.8%. - DagangNews.com








