Pelabur asing jual RM1.35 bilion pada Mac 2023, jumlah tertinggi sejak Disember 2022 – penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM1.35 bilion pada Mac 2023, jumlah tertinggi sejak Disember 2022 – penganalisis

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - Pelabur asing telah menjual bersih ekuiti Malaysia untuk tujuh bulan berturut-turut pada Mac 2023 yang mencatatkan sebanyak RM1.35 bilion berbanding RM170 juta dalam Februari, di mana hampir semua aliran keluar berlaku dalam 14 hari pertama.

 

Penganalisis Maybank Investment Bank (Maybank IB), Wong Chew Hann berkata jualan bersih pelabur asing bagi 2023 setakat ini berjumlah RM1.87 bilion.

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan telah membeli RM1.28 bilion berbanding jualan RM260 juta dalam Februari 2023, meningkatkan belian bersih mereka setakat ini kepada RM1.77 bilion.

 

Pelabur runcit juga telah membeli RM70 juta, menjadikan belian bersih mereka setakat ini  berjumlah RM110 juta.

 

Menurut Chew Hann, pergerakan pelabur pada Mac meningkat bulan ke bulan dengan pelabur asing sebanyak 26.2% berbanding 25.3% dalam Februari, diikut pelabur institusi tempatan 46% (Februari:47.3%) dan pelabur runcit 27.8% (Februari: 27.4%)

 

Ini menjadikan pegangan pelabur asing bagi ekuiti tempatan pada akhir Mac 2023 sebanyak 20.2% berbanding 20.4% akhir Februari.

 

“Laporan Kajian Kestabilan Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti 2022 membahagikan komposisi pelabur asing berdasarkan pegangan asing pasaran sebanyak 20.58% pada akhir September 2022 yang terdiri daripada pelabur strategik (14.13%), pelabur bukan strategik yang aktif (3.83%) dan pelabur bukan strategik yang pasif (2.62%).

 

Manakala mengikut geografi, 43.99% daripada pelabur bukan strategik adalah dari Amerika Syarikat yang mempunyai tiga pegangan teratas dalam sektor perbankan, diikuti United Kingdom (14.8%) Singapura (13.12%), Norway (7.46%) dan Hong Kong (3.34%),” katanya dalam nota hari ini.

 

Walaupun berlaku penjualan bon global, bon ringgit Malaysia mengatasi arus tersebut dengan aliran masuk RM4.3 bilion pada Feb 2023, jumlah yang besar berbanding RM500 juta dalam Januari dan terbesar sejak Ogos 2022.

 

“Ini meningkatkan jumlah pegangan asing kepada RM251. 5 bilion berbanding Januari sebanyak RM247.3 bilion, mencatatkan nilai tertinggi sejak September 2022.

 

Mengikut instrumen hutang, aliran masuk didorong oleh peningkatan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) kepada RM4 bilion dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) sebanyak RM1 bilion, manakala instrumen diskaun menyusut RM300 juta dan (-MYR0.3b) dan Sekuriti Hutang Persendirian (PDS) berkurang RM400 juta, mencatatkan aliran keluar berterusan,” ujar beliau.

 

Sementara itu bahagian asing MGS tidak berubah sejak Januari 2023 pada 34.5%, manakala MGS dan GII meningkat sedikit kepada 22.4% (Januari: 22.3%).

 

Chew Hann berkata aliran portfolio sebanyak RM4.1 bilion mengimbangi aliran keluar RM200 juta daripada ekuiti tempatan pada Feb 2023, menjadikan jumlah terkumpul untuk Januari hingga Februari kepada RM4.2 bilion berbanding negatif -RM5.4 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu. -DagangNews.com