Pekat raih kontrak RM18 juta, bina sistem solar untuk 16 loji pembetungan Indah Water | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekat raih kontrak RM18 juta, bina sistem solar untuk 16 loji pembetungan Indah Water

PROJEK pembinaan sistem solar itu melibatkan loji pembetungan Indah Water di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang. - Gambar hiasan oleh Jeroen van de Water

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pekat Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pekat Solar Sdn Bhd (PSSB) meraih kontrak berhubung pembinaan sistem solar fotovoltan (PV) untuk 16 loji pembetungan yang dimiliki oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd. 

 

Ini selepas PSSB menerima surat tawaran (LOA) kontrak bernilai RM18.1 juta daripada MFP Solar Sdn Bhd (MFP Solar) hari ini, yang melibatkan kerja-kerja untuk mereka bentuk, membekalkan, memasang, menguji dan mentauliahkan sistem solar PV di loji pembetungan yang terletak di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang.

 

Menurut makluman Pekat di Bursa Malaysia, kedua-dua pihak akan memeterai perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk menggariskan terma dan syarat penuh bagi projek berkenaan yang akan bersama-sama dipersetujui dan diterima pakai oleh PSSB dan MFP.

 

“PSSB akan dilantik oleh MFP Solar sebagai kontraktor utama EPCC bagi projek berkenaan. Sementara menunggu pelaksanaan perjanjian EPCC di mana akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh penerimaan LOA, kedua-dua pihak akan memuktamadkan reka bentuk projek berkenaan yang akan dicerminkan di dalam perjanjian EPCC. 

 

“Bayaran akan dibuat dalam tempoh 14 hari kalendar setelah perakuan kerja yang akan dilakukan secara berperingkat mengikut jadual berkaitan dengan perjanjian EPCC,” jelas kumpulan.

 

Projek itu akan bermula setelah perjanjian EPCC dimeterai dan tarikh siap akan berdasarkan Tarikh Operasi Komersial Berjadual di dalam Perjanjian Pembelian Solar (PPA) yang ditandatangani antara PSSB, MFP Solar dan Indah Water pada Mac 2022.

 

Bagaimanapun, sekiranya tarikh operasi komersial tidak dijalankan dalam tempoh tiga bulan daripada Tarikh Operasi Komersial Berjadual itu, EPCC itu akan terbatal dan PSSB seterusnya perlu bertanggungjawab dan menanggung semua kos yang telah dibelanjakan setakat itu.

 

Sebagai rekod, MFP Solar diperbadankan pada 29 Ogos 2019 dan perniagaan utamanya melibatkan membina, memiliki dan mengendalikan loji tenaga solar PV.

 

MFP Solar merupakan syarikat usaha sama antara Mega First C&I Solar Sdn Bhd yang merupakan merupakan anak syarikat milik penuh secara tidak langsung oleh Pekat. - DagangNews.com