KUALA LUMPUR 4 April - Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) mengumumkan untuk melanjutkan kerjasama menaja seorang atlet triatlon wanita bersaing di Kejohanan Dunia Ironman di Kona, Hawaii pada bulan Oktober.
PayNet dalam satu kenyataan berkata, penajaan itu adalah sejajar dengan usaha mereka menyokong penglibatan wanita Malaysia dalam bidang sukan.
Selain itu, ia juga memperlihatkan komitmen kukuh PayNet terhadap kesaksamaan jantina dalam bidang sukan sekali gus menekankan tumpuan terhadap pemasaran terangkum.
“Tajaan PayNet adalah dalam bentuk kit pakaian sukan lengkap berjenama ‘DuitNow’ dan pembiayaan sebahagian daripada perbelanjaan untuk bersaing dalam perlumbaan di Hawaii,” katanya.
PayNet sebelum ini telah menaja tiga atlet triatlon wanita iaitu Noor Zakira Binti Zulrimi, 31 tahun, Serena Yang Chen Yin, 30 tahun, dan Teoh Sue Ling, 43 tahun untuk bersaing dalam Ironman Malaysia 2022 dan IRONMAN 7.0 Langkawi pada 5 November 2022.

Hanya Noor Zakira berjaya melayakkan diri untuk bertanding di Kejohanan Dunia Ironman di Kona, Hawaii, pada 14 Oktober 2023.
PayNet berharap penajaan mereka pada pertandingan di Hawaii itu nanti akan membolehkan Noor Zakira memberikan tumpuan penuh untuk membuat persiapan fizikal dan mental bagi mencapai prestasi optimum.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Komersial PayNet, Khairuan Abdul Rahman berkata, kesaksamaan jantina menjadi keutamaan mereka dan sejajar mencapai matlamat kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) supaya ia meliputi penjenamaan korporat dan produk serta penajaan.
Tambahnya, di PayNet mereka telah memulakan usaha itu untuk mencapai DEI sejak tahun lepas.
“Kami berbesar hati kerana diberi peluang menaja wanita-wanita luar biasa ini. Sesungguhnya pencapaian mereka adalah sejajar dengan nilai-nilai jenama kami yang merangkumi keberanian, keyakinan dan kecekalan.
“Matlamat ini juga termasuk memberikan peluang saksama dalam bidang sukan dan PayNet berharap untuk melakukan sesuatu yang bermakna bagi meningkatkan profil pertandingan yang sangat mencabar ini sebagai inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk menjadi atlet triatlon,” katanya.

Dalam pada itu Noor Zakira berkata, tajaan oleh PayNet itu sesungguhnya mengiktiraf atlet wanita dan membantu menjadikan persaingan dalam perlumbaan ketahanan lebih mudah.
“Jenama DuitNow PayNet terkenal di negara ini kerana kemudahannya yang pantas, konsisten dan berdaya tahan. Saya rasa ciri-ciri ini juga diperlukan dalam acara seperti triatlon jarak jauh,” katanya.
PayNet, penyedia infrastruktur pembayaran runcit negara in yang mengendalikan kemudahan pembayaran digital kegunaan umum seperti DuitNow, DuitNow QR, MyDebit dan JomPAY, telah memilih triatlon kerana sukan ini berkait rapat dan sejajar dengan nilai-nilai korporat PayNet.
Berasaskan strategi DEI syarikat untuk membina masa depan yang lebih terangkum, PayNet bercadang untuk meneruskan tajaan seumpama ini demi membantu mengatasi sekatan penyertaan untuk membolehkan sesiapa sahaja menceburi aktiviti yang diminati dan mencapai impian mereka. - DagangNews.com








