Pavilion Integrity berusaha capai 'resolusi adil' selepas mahkamah hentikan pembinaan apartmen di Lot 810 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pavilion Integrity berusaha capai 'resolusi adil' selepas mahkamah hentikan pembinaan apartmen di Lot 810

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Pavilion Integrity Sdn Bhd, anak syarikat Radium Development Berhad berkata ia komited berusaha untuk resolusi adil dalam isu melibatkan pembangunan apartmen berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Lot 810.

 

Syarikat itu berkata sedemikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil Lot 810, di mana Pavilion Integrity telah mendapat kelulusan untuk membina apartmen servis 45 tingkat dekat Jalan Jejaka 1 dan Lorong Peel.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Radium berkata mahkamah telah mengarahkan DBKL dan Pavilion masing-masing untuk membayar kos RM90,000 kepada pemilik dan penduduk yang merupakan responden dalam permohonan rayuan.

 

Syarikat itu berkata ia berdedikasi menghormati keputusan tersebut dan segera menanganinya.

 

Oleh itu, Pavilion Integrity menjangkakan pengambilalihan Lot 810 oleh DBKL adalah dengan pampasan kepadanya seperti termaktub di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

 

“Kesan kewangan terhadap Pavilion Integrity termasuk bayaran balik dan pampasan pengebilan kemajuan kepada pembeli, pampasan kepada kontraktor dan kehilangan pendapatan dan keuntungan daripada projek pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Di sebalik keputusan ini, jelasnya, Pavilion Integrity dan Radium tetap yakin bahawa keputusan ke atas anak syarikat tidak akan memberi kesan kewangan yang ketara kepada kumpulan itu untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

 

“Kumpulan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan pengembangan strategiknya, seperti pengambilalihan dua bidang tanah bernilai RM71.8 juta di Kuala Lumpur baru-baru ini oleh anak syarikat, Radium Global Sdn Bhd.

 

“Selanjutnya, Radium berdedikasi menyampaikan perkembangan berkualiti tinggi dan mencipta nilai untuk pemegang saham, rakan kongsi dan pelanggannya,” tambahnya.

 

Pada Oktober tahun lalu, sekumpulan 202 pemilik dan penduduk kompleks apartmen di Taman Maluri berjaya mendapatkan Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan DBKL membenarkan Pavilion Integrity membina sebuah lagi kompleks pangsapuri di sekitar kawasan itu.

 

DBKL diarah ambil alih Lot 810 untuk membina jalan sepanjang 20 meter bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas penduduk seperti yang telah ditetapkan di bawah Rancangan Bandaraya KL 2020.

 

Mahkamah turut mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan dan kerajaan masing-masing membayar kos RM20,000 kepada pemilik dan penduduk. - DagangNews.com