PATAMI 3QFY23 Infomina melebihi jangkaan, BIMB Securities naikkan unjuran pendapatan FY23-25 sebanyak 45.4-78.6% | DagangNews Skip to main content

PATAMI 3QFY23 Infomina melebihi jangkaan, BIMB Securities naikkan unjuran pendapatan FY23-25 sebanyak 45.4-78.6%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 April - Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) Infomina Berhad melebihi ramalan BIMB Securities Research dan pasaran, masing-masing pada 135% dan 138%.

 

Firma penyelidikan itu berkata hasil tersebut didorong pengiktirafan kontrak lebih tinggi daripada jangkaan daripada segmen pembaharuan terutamanya daripada institusi perkhidmatan kewangan dan agensi kerajaan dalam pasaran utama kumpulan ( Malaysia, Thailand, dan Filipina) dan rantau ini.

 

Oleh itu, firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-FY25) sebanyak 45.4 hingga 78.6%.

 

Dalam laporan kewangan Infomina di Bursa Malaysia semalam, syarikat tersebut telah mencatatkan peningkatan PATAMI 347.7% suku ke suku (QoQ) kepada RM22.5 juta pada 3QFY23, membawa PATAMI sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) sebanyak RM32.7 juta.

 

“Kumpulan itu dijangka mencatat aliran hasil yang boleh dipercayai dan stabil daripada buku pesanannya, terutamanya dalam segmen pembaharuan,” kata BIMB Securities dalam nota hari ini.

 

Mengimbas kembali tinjauannya, firma itu berkata pada 5 April 2023, Infomina menerima Surat Setuju Terima daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertarikh 29 Mac 2023, melantik mereka untuk menyediakan platform untuk carian data awam, pengekstrakan dan pembelian data syarikat dan perniagaan berdaftar.

 

Pelantikan itu adalah selama enam tahun, bermula dari 31 Mac 2023 sehingga 30 Mac 2029, dengan bayaran perkhidmatan berdasarkan penggunaan platform sebenar mengikut terma pelantikan.

 

“Melangkah ke hadapan, kumpulan itu yakin dengan rancangannya untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan sambil mengembangkan penawaran teknologi, meneroka pasaran baharu bagi pertumbuhan perniagaan dan meningkatkan kehadiran jenamanya,” jelasnya.

 

Pendapatan Informina meningkat 161% QoQ disebabkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang menggalakkan dengan mencatatkan lonjakan 318.2% QoQ.

 

“Ini seterusnya dibantu oleh sumbangan cemerlang daripada segmen pembaharuan yang meningkat 223% QoQ berikutan semakan kadar untuk pelanggan sedia ada dan kontrak baharu yang berkuat kuasa pada 3QFY23, serta bayaran lebihan dikenakan kepada pelanggan disebabkan penggunaan lebih tinggi daripada jangkaan,” katanya.

 

Selain itu, tambah firma tersebut, segmen pembaharuan membentuk 74.6% daripada jumlah pendapatan dalam 9MFY23, di mana kebanyakannya datang daripada projek pembaharuan kepada institusi kewangan dan agensi kerajaan dalam pasaran utamanya, termasuk Malaysia, Thailand, Filipina dan wilayah sekitarnya.

 

BIMB Securities mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.72 sesaham daripada RM1.50. -DagangNews.com